LUMUT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas sempena sambutan Hari TLDM Ke-90.
Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas yang diadakan di Masjid An-Nur TLDM itu juga diadakan bagi memperingati tragedi nahas Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec yang mengorbankan 10 kru pada Selasa lalu.
Majlis bermula dengan ketibaan Sultan Sharafuddin selaku Kapten Yang Dipertua TLDM di Masjid An-Nur pada pukul 12.15 tengah hari.
Selepas itu, majlis bacaan yasin dan tahlil diadakan diketuai oleh Pengarah Agama Markas Tentera Laut, Leftenan Kolonel Ahmad Kamil Abdullah dan disusuli dengan solat Jumaat.
Khutbah Khas bertajuk ‘TLDM Perkasa,Kedaulatan Terpelihara’ kemudian disampaikan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.
Kira-kira 3,000 warga TLDM hadir pada majlis dan solat tersebut.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah; bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana (B) Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan barisan kepimpinan tertinggi TLDM.
Dalam pada itu, ketika membacakan khutbahnya, Abdul Rahman memberitahu tragedi dua helikopter terhempas itu ternyata memberi kesan yang sangat mendalam dan merupakan satu kehilangan besar kepada TLDM dan negara.
“Sedarlah, bahawa kamu (semua mangsa) telah menggadaikan nyawa demi ibu pertiwi dan tanah air yang tercinta ini.
“Pengorbanan yang telah kamu berikan pastinya tidak dapat kami balas dengan air mata. Hanya doa sahaja yang mampu kami titipkan agar rohmu sentiasa dirahmati Allah,” jelas beliau.
Menurutnya, segala kenangan yang tercipta sebagai ahli keluarga ‘the Navy People’ pastinya akan terpahat dalam sanubari pasukan tersebut.
Jelasnya, kematian mereka adalah satu pemergian yang dicemburui kerana keberanian jiwa semua mangsa sanggup berkorban demi pasukan dan negara.
Beliau berdoa agar Allah memberikan keredaan kepada semua warga TLDM dalam menghadapi perpisahan tersebut.
Menurutnya lagi, takziah diucapkan kepada waris dan ahli keluarga mangsa serta didoakan agar mereka diberi ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan itu.
“Pada hari yang penuh bersejarah ini, kami sedekahkan al-Fatihah kepada kamu, agar dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa.
“Semoga Allah mengasihi kamu semua dan menempatkan kamu di kedudukan yang istimewa di sisiNya, serta di kalangan orang-orang yang beriman dan juga para syuhada,” ujarnya. – UTUSAN










