PETALING JAYA: Peniaga di Medan Selera Jaya 223 di sini melahirkan rasa kecewa apabila premis perniagaan mereka sekali lagi dilanda banjir kilat selepas hujan lebat dalam tempoh singkat petang tadi menyebabkan air naik secara mendadak hingga menenggelamkan gerai dan merosakkan pelbagai peralatan.
Kejadian itu merupakan kali kedua melanda medan selera berkenaan selepas insiden sama pada Mei lalu, dengan paras air kali ini dilaporkan mencecah sehingga dua meter. Selain merosakkan peralatan perniagaan, beberapa peti sejuk turut terbalik akibat arus deras.
Peniaga nasi ayam, Che Adin Ahmad, 74, berkata, dia hanya mengetahui kejadian tersebut menerusi kumpulan WhatsApp peniaga kerana tidak berniaga pada hari berkenaan.
Katanya, masalah banjir di kawasan itu bukan lagi perkara baharu kerana setiap kali hujan lebat, peniaga sudah menjangkakan air akan melimpah masuk ke dalam premis.
“Banjir kali ini hampir sama seperti yang berlaku pada Mei lalu. Saya dimaklumkan paras air mencecah sehingga paras leher dan peti sejuk turut terbalik. Sebelum ini kami diberi pelepasan bayaran sewa gerai selama dua bulan selepas banjir, tetapi masalah ini masih berulang.
“Sehingga hari ini tiada penyelesaian yang benar-benar berkesan. Kami hanya mampu pasrah setiap kali hujan lebat kerana bimbang banjir akan berlaku lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Noor Aini, 40, berkata, air mula naik kira-kira pukul 4.30 petang sebelum beransur surut sekitar pukul 6.15 petang.
Menurutnya, sistem pengesan banjir yang dipasang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membantu memberi amaran awal kepada peniaga, namun ada yang tidak sempat menyelamatkan peralatan bersaiz besar.
Katanya, beberapa kawasan kilang dan perumahan berhampiran turut dinaiki air, manakala petugas MBPJ hadir membantu kerja-kerja pembersihan pascabanjir.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat melaksanakan penyelesaian jangka panjang kerana kejadian ini bukan sahaja menjejaskan operasi perniagaan, malah menyebabkan kerugian besar kepada peniaga setiap kali banjir berlaku,” katanya. – UTUSAN










