Polis Kelantan berkas 122 mat rempit - Utusan Malaysia

Polis Kelantan berkas 122 mat rempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan memberkas 122 orang mat rempit sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, jumlah tangkapan itu meningkat sebanyak 114 peratus berbanding 57 individu yang dicekup dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 61 suspek berusia 17 tahun ke bawah, 57 orang berusia 18 hingga 39 tahun dan empat individu berusia 40 tahun ke atas.

“Kesemua suspek yang dikategorikan sebagai mat rempit itu ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam pelbagai operasi yang dijalankan di seluruh negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

MUHAMAD Zaki Harun (kanan) menyampaikan surat penghargaan kepada anggota polis pada Majlis Perhimpunan Bulanan di IPK Kelantan, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN /ROSLIZA MOHAMED

Pada majlis itu, seramai 50 individu melibatkan pegawai, anggota polis dan kakitangan awam menerima sijil penghargaan.

Muhamad Zaki berkata, kes melibatkan mat rempit dilihat agak membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan, namun operasi pihak polis sentiasa dijalankan.

Katanya, sehubungan itu polis sudah memberi khidmat nasihat kepada golongan remaja dengan mengadakan program berkaitan di sekolah.

“Kita juga mengarahkan semua ketua polis daerah, pengarah dan pegawai pendidikan daerah memantau perkara itu. Ibu bapa juga perlu memberi contoh yang baik kepada anak-anak mengenai keselamatan ketika menunggang motosikal seperti memakai topi keledar dan lesen memandu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, sebanyak 126,529 saman dikeluarkan melibatkan kesalahan seperti topi keledar, lampu isyarat, ekzos, nombor pendaftaran dan alat komunikasi bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya