Pelakon Bloodhounds, Cha Ji-hyuk bintangi ‘Distinct: Becoming Sarawak’ - Utusan Malaysia

Pelakon Bloodhounds, Cha Ji-hyuk bintangi ‘Distinct: Becoming Sarawak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pelakon Korea Selatan, Cha Ji-hyuk, yang mencipta nama menerusi siri hit Netflix, Bloodhounds 2, bakal membintangi sebuah filem terbitan bersama Korea-Malaysia bertajuk Distinct: Becoming Sarawak.

Menerusi naskhah yang menyentuh tema cinta dan budaya itu, Ji-hyuk bakal bergandingan dengan dua pelakon wanita tempatan, Siti Nur Aishah Bee Md Nor dan Shelyn Poh sebagai teraju utama.

Bergenre komedi romantik, filem ini bakal memaparkan warisan budaya serta keindahan landskap semula jadi Sarawak, sekali gus bertujuan memperkenalkan perspektif baharu negeri itu ke peringkat antarabangsa.

Diarahkan oleh Shin Ji-hwan dengan skrip tulisan Park Ho-young, filem ini turut melibatkan kru dengan penglibatan pasukan produksi berpengalaman dari Korea Selatan yang mengendalikan aspek sinematografi, bunyi, pencahayaan dan muzik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif The Black Label Sdn. Bhd. merangkap penerbit filem, Lee Sang Chan berkata, Sarawak menawarkan keunikan yang jauh lebih bermakna berbanding sekadar pemandangan yang indah.

“Sarawak memiliki naratif, emosi dan tenaga unik yang memberikan identiti khas kepada filem ini, sekali gus membina hubungan bermakna dengan penonton,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, objektif utama projek tersebut adalah untuk memperkenalkan Kuching dan Sarawak kepada penonton antarabangsa, selain merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.

“Saya berharap filem ini akan menjadi jambatan yang menghubungkan Sarawak dengan penonton di seluruh dunia dan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk menerokai keistimewaan tempat ini.

“Semoga kolaborasi ini membuka lebih banyak peluang kepada pelakon, kru dan profesional kreatif tempatan, selain membuka jalan bagi Korea Selatan yang lain untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, pengarah, pelakon dan kru dari Korea Selatan telah berada di Kuching 1 Jun lalu bagi menjalankan kerja pra-produksi dan bakal memulakan penggambaran sepenuhnya di Sarawak pada Isnin. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN