Malaysia kaji keperluan terus hantar pasukan pengaman MALBATT ke Lubnan - Utusan Malaysia

Malaysia kaji keperluan terus hantar pasukan pengaman MALBATT ke Lubnan

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) menyampaikan bantuan kepada penduduk pada Majlis Perasmian Program Jiwa Murni Madani Kementerian Pertahanan di Sekolah Kebangsaan Johor Kampong, Kota Tinggi. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Malaysia akan kaji keperluan untuk terus menghantar pasukan pengaman ke Lubnan di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) selepas mandat semasa dijadualkan tamat, Disember ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu sedang dibincangkan pihaknya bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan peningkatan konflik melibatkan Israel di negara berkenaan.

Katanya, Malaysia sebelum ini merancang untuk menamatkan penglibatan pasukan pengaman sebaik sahaja mandat UNIFIL berakhir.

“Pada asalnya, apabila mandat berakhir pada penghujung tahun ini, proses yang dirancang adalah untuk membawa pulang anggota dan menamatkan penglibatan dalam pasukan itu.

“Bagaimanapun, serangan berterusan Israel menyebabkan timbul persoalan sama ada pasukan pengaman PBB perlu diteruskan di Lubnan bagi mengelakkan keadaan keselamatan di negara itu menjadi lebih buruk,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Jiwa Murni Madani Kementerian Pertahanan di Sekolah Kebangsaan Johor Kampong, di sini hari ini.

Tambah Mohamed Khaled, peranan pasukan pengaman semakin mencabar apabila mereka bukan sahaja menjalankan tugas pemantauan keamanan tetapi berdepan risiko berada di kawasan konflik peperangan.

“Wakil PBB telah adakan perbincangan dengan Malaysia berhubung masa depan misi UNIFIL serta keperluan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota pengaman.

“Daripada sekadar pasukan pengaman, kini mereka terdedah kerana berada di tengah-tengah konflik dan peperangan. Sebab itu kita bincang mengenai keperluan persediaan yang lebih baik untuk anggota,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang kecederaan dua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang mengikuti misi di Lubnan berkenaan baru-baru ini, Mohamed Khaled memberikan mereka cedera akibat terkena serpihan letupan.

“Kecederaan yang dialami tidak serius dan rawatan telah diberikan di Lubnan kerana pasukan kita ada kemudahan perubatan sendiri di sana. Berlaku letupan di kawasan berhampiran mereka, bukan letupan terus di kawasan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN