PNB lancar dana unit amanah baharu, ASN Sukuk

PNB lancar dana unit amanah baharu, ASN Sukuk

Arifin Zakaria melihat salah seorang pengunjung, Noor Syahidah Ramlee, 34, mengemas kini butiran peribadi di kiosk ASNB di tapak pameran MSAM 2022 di Port Dickson, hari ini.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melancarkan dana unit amanah pendapatan tetap (ASN Sukuk) hari ini.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, ASN Sukuk menyasarkan pelabur dengan tahap toleransi risiko rendah yang cenderung kepada pendapatan stabil dalam jangka masa sederhana hingga panjang.

“Dana harga berubah baharu ini memberi tumpuan kepada pelaburan dalam pelbagai portfolio Sukuk (instrumen pendapatan Islam).

“Yang mana 80 peratus hingga 99 peratus daripada Nilai Aset Bersih (NAB) dana tertumpu kepada aset kelas Sukuk termasuklah Terbitan Pelaburan Kerajaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian MSAM 2022 di Kawasan Lapang Pantai Batu 1, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Muzzaffar Othman berkata, dana unit amanah baharu itu menawarkan pelaburan alternatif yang stabil kepada para pelabur.

“Dalam suasana pasaran global yang dijangka kekal tidak menentu pada tahun 2023, aset pendapatan tetap adalah satu tawaran nilai yang menarik untuk pelabur yang mencari portfolio keseluruhan yang stabil.

“Dana baharu ini mempunyai beberapa ciri dana unit amanah ASNB sedia ada yang akan menarik pelabur untuk memiliki portfolio pelaburan Sukuk termasuk pelaburan minimum RM10 seterusnya  pelaburan tambahan serendah RM1,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Jelas Muzzaffar, ASN Sukuk membolehkan pemegang unit melengkapkan dan mempelbagaikan portfolio pelaburan sedia ada mereka dalam ASNB untuk membina portfolio yang lebih seimbang.

“ASN Sukuk akan mengambil manfaat daripada persekitaran kadar faedah yang semakin meningkat sebagai titik permulaan yang menarik untuk mengumpul Sukuk atau instrumen pendapatan bagi menjana potensi pulangan masa hadapan.

“Berbanding, pasaran saham lain ASN Sukuk kurang berisiko berbanding pasaran saham lain misalnya jika melabur sebanyak RM1,000 wang tersebut akan kekal memandangkan kita menggunakan bon kerajaan dengan tambahan dividen pada jangka panjang,” katanya.

Menurut Muzzaffar, mulai 25 November 2022, pelabur boleh melanggan ASN Sukuk secara dalam talian di portal dan aplikasi mudah alih myASNB, perbankan internet ejen ASNB atau melalui perkhidmatan kaunter di semua cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara. 

“Harga tawaran permulaan dana ditetapkan pada RM1 seunit semasa tempoh tawaran permulaan selama 21 hari sehingga 15 Disember 2022.

“Sempena pelancaran dana ini, pelabur juga boleh menikmati caj jualan yang lebih rendah sebanyak 1 peratus untuk sebarang jumlah pelaburan yang dibuat melalui perkhidmatan kaunter di cawangan dan ejen ASNB seluruh negara sehingga 31 Mac 2023,” katanya.

PNB menyasarkan lebih 150,000 pengunjung pada MSAM 2022 yang berlangsung hari ini hingga 30 November 2022 di Port Dickson.

MSAM 2022 kali ini menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen-ejen ASNB, badan kawal selia serta agensi kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.