Petani, pekebun kecil rugi RM2.6 juta diserang haiwan liar

Sidang DUN Terengganu: Petani, pekebun kecil rugi RM2.6 juta diserang haiwan liar

DR. AZMAN IBARAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Golongan petani dan pekebun kecil di Terengganu kerugian RM2.6 juta akibat serangan pelbagai haiwan liar dalam tempoh tiga tahun sejak 2020.

Sejak Januari hingga September lalu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu juga telah menerima sebanyak 130 aduan berhubung serangan haiwan liar itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, beberapa langkah telah dilaksanakan hasil kerjasama Jabatan Pertanian, Perhilitan dan pemilik lesen senjata api setempat.

“Antaranya adalah memasang perangkap kera, babi, beruang dan tapir yang dipindahkan ke habitat asal jauh dari kawasan konflik bagi mengelakkan serangan tanaman berulang.

“Bagi ancaman gajah pula, terdapat tiga kaedah digunakan iaitu pemasangan pagar elektrik, tembak halau dan tangkap untuk dipindahkan ke tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ab. Razak Ibrahim (Pas-Air Putih) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Azman berkata, tiga lokasi yang sering terlibat dengan ancaman gajah telah dipasang sistem pagar elektrik gajah (SPEG) iaitu Kampung Lawit ke Belukar Bukit di Hulu Terengganu sepanjang 29.5 kilometer (km).

“Di Setiu, dua lokasi ialah Kampung Pelong Setiu (35 km) dan Kampung Payong ke Chalok Barat (25 km).

“Terdapat empat lokasi baharu akan dibangunkan SPEG dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) melibatkan Kampung Ban Hoo dan Kampung Air Putih di Kemaman serta Kampung Gerdong dan Kampung lubuk Periuk di Hulu Terengganu.

“Selain itu, sebanyak 21 gajah telah ditangkap dan dipindahkan dalam tempoh empat tahun bermula tahun 2019 iaitu empat ekor diikuti tahun 2020 (enam), 2021 (lapan) dan 2022 (tiga) dengan setiap operasi tangkap pindah menelan kos puluhan ribu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN