'Penjara tak sama macam hotel' - Yasin - Utusan Malaysia

‘Penjara tak sama macam hotel’ – Yasin

YASIN Sulaiman hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi keputusan representasi terhadap tiga pertuduhan dadah. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman yang menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dadah, ditempatkan dalam sel tahanan berasingan di penjara berikutan keadaan kesihatan yang dihadapinya.

Peguam Ariff Azami Hussein yang mewakilinya berkata, walaupun diasingkan daripada banduan lain tindakan itu tidak menjadikan Yasin mendapat layanan istimewa.

“Semalam saya melawat Yasin dan keadaan beliau ceria dan bersemangat cuma kurang selera makan. Layanan pihak penjara dan polis terhadapnya sangat baik malah tiada isu langsung.

“Macam beliau kata tadi, penjara tetap penjara,” ujar peguam itu ketika ditemui wakil media selepas prosiding sebutan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Sementara itu, Yasin ketika ditanya keadaannya sepanjang ditahan memberitahu, penjara tidak sama seperti hotel.

“Penjara seperti penjaralah, tak macam hotel,” ujarnya kepada wakil media sambil tersenyum sejurus sebelum dibawa oleh anggota polis ke lokap mahkamah selepas kesnya ditangguhkan.

Ketika ditanya sama ada beliau menerima keputusan representasi sama ada memihak atau tidak kepadanya, Yasin optimis bahawa  pihak pendakwaan akan mempertimbang representasi berkaitan tiga pertuduhan dadah yang dikemukakannya.

“Representasi itu setebal 47 muka surat dan sangat komprehensif mengandungi dokumen kesihatan dan rawatan yang saya perlukan,” ujar Yasin.

Dalam perkembangan sama, Ariff Azami menyatakan, alasan yang dikemukakan dalam representasi itu kuat dan pihaknya berharap pertuduhan tersebut dikaji semula dan diberi pertimbangan.

“Representasi itu antaranya mengandungi laporan perubatan dan alasan kemanusiaan, rayuan  melibatkan keluarga dan keadaan terkini Yasin.

“Manfaat kes ini bukan sahaja kepada Yasin malah kepada ramai pesakit yang sedang mendapatkan  cara rawatan bukan ortodoks yang  mana mereka kemudian dituduh di mahkamah.

“Mereka sepatutnya diberi peluang oleh pihak pendakwaan dan bukan dirangkum sekali dengan pesalah yang menggunakan dadah berbahaya,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen  menetapkan 15 Disember ini bagi keputusan representasi Yasin atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Hakim Jamaludin Mat menetapkan tarikh itu bagi menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang masih dalam pertimbangan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan representasi itu telah diserahkan kepada pihak pendakwaan dan masih dalam pertimbangan.

Pada 22 Ogos lalu, mahkamah sama menetapkan perbicaraan didengar selama 15 hari bermula Mac tahun depan bagi tiga pertuduhan dadah yang dihadapi Yasin.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 6 hingga 10, 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Mac yang mana seramai 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Pada 6 Julai lalu, Yasin, 47, bernasib baik apabila tidak berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis seberat 214 gram.

Pertuduhan mengedar ditarik balik dan Yasin  dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Mengikut pertuduhan baharu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu.

Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu bagi satu lagi pertuduhan, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya