Penganggur didakwa bunuh anak tiri perempuan - Utusan Malaysia

Penganggur didakwa bunuh anak tiri perempuan

C. Stephen Raj (tengah) diiringi anggota polis tiba di Mahkamah Majistret Kajang bagi pertuduhan membunuh anak tiri perempuan berusia 11 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak tiri perempuan berusia 11 tahun di sebuah rumah, minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, C. Stephen Raj, 43, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan dengan niat hendak menyebabkan kematian terhadap mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Ramal di sini pukul 11.33 malam pada 21 November lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam M. Manoharan.

Tiada ikat jamin dibenarkan dan mahkamah kemudian menetapkan 10 Januari untuk sebutan kes.

Pada 23 November lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati apabila ususnya pecah selain kepala dihentak dipercayai didera bapa tiri dalam kejadian di kediaman di Taman Sri Ramal di sini.

Kejadian disedari selepas pihak Hospital Serdang menerima pesakit kanak-kanak perempuan warga tempatan kira-kira pukul 12.39 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, mangsa dibawa menggunakan ambulans dari rumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan bapa tiri mangsa ketika berada di pekarangan Hospital Serdang.

Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku pernah memukul mangsa menggunakan tangan, kaki dan baldi di dalam tandas akibat marah kerana mendakwa mangsa sering membuat masalah di rumah semasa ketiadaan ibunya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya