TAPAH: Seminggu selepas kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di Gunung Batu Putih di sini, suaminya tetap menaruh harapan supaya isterinya dapat ditemukan.
Haszman Othman, 61, berkata, dia yakin isterinya mampu bertahan dalam cabaran di hutan kerana memiliki pengalaman luas dalam aktiviti mendaki.
“Saya yakin dengan kekuatan isteri yang sudah biasa dengan aktiviti mendaki. Saya percaya dia tak akan mudah mengalah, saya yakin kemampuannya.
“Saya tetap akan tunggu sampai dia dapat ditemukan, tidak kira apa cara sekalipun saya tetap akan tunggu dia. Setiap hari harapan saya supaya dia akan ditemukan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Haszman pada masa berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat isterinya itu sejak dilaporkan hilang pada 23 Mei lalu.
Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat memang bekerja keras sejak dari hari pertama sehingga hari ini.
“Memang nampak komitmen mereka seratus peratus, jadi kami sangat hargai mereka malah kebajikan kami dijaga baik oleh pihak Pegawai Daerah.
“Kami ditawarkan penginapan lain tetapi kami lebih selesa berada di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II, Woh di sini, lebih dekat dengan kawasan pencarian,” katanya.
Mengenai khidmat tok batin Orang Asli yang digunakan dalam usaha mencari isterinya, Haszman memang mengalu-alukannya malah sudah bersetuju sejak dari awal lagi.
“Orang Asli memang kehidupan mereka dalam hutan, keluar masuk hutan memang sudah jadi mainan dia.
“Mereka tahu di mana hendak pergi, jadi mereka lebih memahami. Kami setuju tok batin ikut serta operasi mencari, mungkin mereka boleh membantu menemukan isteri saya,” katanya.
Ditanya jika operasi mencari dihentikan, Haszman berkata, semasa hari kelima operasi mencari, dia diminta membuat laporan polis mengenai kehilangan isterinya supaya operasi mencari disambung.
“Saya sudah buat laporan mengenai orang hilang tetapi saya tidak tahu pencarian ini berapa lama, seminggu atau dua minggu tidak tahu.
“Kalau operasi mencari ini dihentikan, kami akan cari sendiri sehingga dia dijumpai,” katanya.
Dalam pada itu Haszman menafikan pernah mengeluarkan kenyataan menyalahkan pihak-pihak tertentu berkaitan kehilangan isterinya.
Sementara itu, kakak kepada Jaslinda, Jasima Saludin, 52, berkata, fokus sekarang adalah usaha mencari adiknya yang kini memasuki seminggu hilang.
“Saya terkejut dengan kejadian ini tetapi reda dan sekarang mahu fokus kepada usaha mencarinya sebaik mungkin.
“Saya yakin dia ada, dia mampu bertahan. Kami mahu fokus kepada kepada mencarinya. Kami tidak akan berputus asa, kami yakin sangat, harapan kami dia akan ditemukan,” katanya.-UTUSAN.










