Pelanggan batal tempahan bilik akibat masalah feri - Utusan Malaysia

Pelanggan batal tempahan bilik akibat masalah feri

TERMINAL Feri Langkawi yang mengunjur ke tengah laut boleh dibina di Kuala Kedah dan Kuala Perlis bagi mengatasi masalah air pasang surut yang menjejaskan perkhidmatan feri. – UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kebanyakan pe­ngunjung yang membuat tempahan awal bilik penginapan di pulau pelancongan ini akan membatalkan tempahan mereka ekoran tidak mendapat tiket feri bagi melakukan perjalanan ke Pulau Langkawi.

Situasi itu menyebabkan pe­ngusaha pelancongan teruta­manya yang menjalankan per­khidmatan penginapan terpaksa menanggung kerugian apabila terpaksa memulangkan semula wang tempahan pelanggan mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Kedah/ Perlis, Datuk Azly Rosly berkata, secara purata, pihaknya hanya menerima separuh tempahan bilik sekarang berbanding sebelum pandemik Covid-19 pada 2019.

Katanya, perkara itu me­nimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengusaha hotel bajet di Pulau Langkawi walaupun sudah kira-kira setahun dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

“Biasanya, ketika ini keba­nyakan hotel bajet akan mene­rima tempahan yang banyak bagi mereka yang datang untuk me­nyaksikan acara Ironman Langkawi 2022 pada Sabtu ini. Tetapi tahun ini tidak begitu, bahkan ada beberapa tempahan yang dibatalkan saat akhir di­sebabkan masalah pengangkutan ke sini.

“Lebih 50 peratus pengura­ngan tempahan dalam masa dua bulan kebelakangan ini berlaku berbanding 2019, walaupun ada cuti Deepavali dan acara bertaraf antarabangsa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Akhbar ini melaporkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merekodkan kemasukan pengunjung ke Langkawi seba­nyak 1.8 juta orang sehingga September lalu, berbanding 3.9 juta sepanjang 2019.

Data kemasukan pelancong itu banyak dipengaruhi perjalanan feri yang terhad dan sekiranya perjalanan feri ditambah, angka kemasukan pengunjung ke Langkawi akan meningkat.

Seorang pengusaha kereta sewa yang juga Pengurus Iwan Langkawi Enterprise, Muhammad Norihkwan Rosmizan ber­kata, dia amat mengharapkan perkhidmatan feri untuk mendapat pelanggan bagi kereta sewa, namun ia tidak seperti diharapkan.

“Ada pelanggan takut hendak ke Langkawi kerana bimbang tidak mendapat tiket feri.Bahkan baru-baru ini semasa Deepavali tempahan juga menyedihkan, jauh berbeza berbanding sebelum pandemik walaupun sudah setahun Langkawi dibuka kepada pelancong,” katanya.

Bagi Pengarah Seri Pulau Tra­vel & Tours Sdn. Bhd., Muhaimin Amar Mahadzir, isu feri yang berlaku ketika ini ibarat membunuh industri pelancongan Langkawi.

“Situasi industri pelancongan sekarang sangat teruk kerana masalah feri ke Langkawi sudah terlalu lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya