PETALING JAYA: Bursa Malaysia menyaksikan kerugian kumulatif permodalan pasaran berjumlah RM7.32 bilion akibat reaksi mendadak pelabur terhadap pembentukan kerajaan yang masih tergantung dan dijangka lebih tinggi sekiranya kerajaan baharu masih gagal dibentuk.
Sektor yang menanggung beban jualan pada pembukaan minggu itu ialah produk pengguna, perbankan, permainan dan kilang arak.
Pada akhir dagangan semalam, Bursa Malaysia terus merosot pada 1,441.29, turun 6.67 mata, walaupun dibuka tinggi sedikit pada 1,449.3, menokok 1.34 mata daripada penutupan kelmarin disebabkan sentimen berhati-hati para pelabur.
Ringgit turut merekodkan prestasi sama apabila dibuka pada 4.5730/5830 berbanding dolar AS, menurun sedikit daripada penutupan kelmarin, sebelum mengakhiri dagangan semalam sedikit tinggi pada 4.5680/5750.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, selagi pembentukan kerajaan tidak dilakukan, maka para pengurus dana luar dan tempatan akan keluar dari pasaran dengan menjual saham-saham mereka.
“Keadaan itu seterusnya akan menukarkan mata wang ringgit kepada mata wang asing, sekali gus melemahkan mata wang negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, trend penurunan itu hanya akan bersifat sementara kerana dijangka kerajaan baharu akan dapat dibentuk tidak lama lagi.
Semasa dagangan pagi semalam, saham perjudian terus merasakan tekanan apabila harga saham operator nombor ramalan (NFO) Sports Toto Bhd. dan pengendali kasino Genting Malaysia Bhd. (GenM) terus menurun.
Sports Toto turun dua sen atau 1.22 peratus kepada RM1.62, Magnum turun satu sen atau 0.74 peratus kepada RM1.35, GenM turun satu sen atau 0.39 peratus kepada RM2.55, manakala syarikat induknya Genting Bhd. turun lima sen kepada RM4.21.
Sektor produk pengguna juga menanggung beban sentimen negatif, apabila Nestle (M) Bhd. mendahului saham paling rugi Bursa, manakala Dutch Lady Milk Industries Bhd. dan Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) juga berada dalam kedudukan merah.
Nestle yang paling rugi susut RM1.50 atau 1.14 peratus kepada RM130.30, manakala Dutch Lady turun 38 sen atau 1.22 peratus kepada RM30.82, manakala F&N susut dua sen atau 0.1 peratus kepada RM20.98.
Bagaimanapun, pembuat arak Carlsberg Brewery Malaysia Bhd. menokok lapan sen atau 0.36 peratus kepada RM22.08, manakala Heineken Malaysia Bhd. turun dua sen atau 0.09 peratus kepada RM23. – UTUSAN










