Najib kecewa nama diguna propaganda politik

Najib kecewa nama diguna propaganda politik

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan dakwaan beliau akan `dibebaskan segera’ menerusi pengampunan diraja sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebagai propaganda politik yang tidak berasas.

Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, bekas Perdana Menteri menafikan sekeras-keras perkara itu sambil melahirkan kekecewaan namanya digunakan meskipun beliau kini dipenjarakan.

Justeru, Muhammad Shafee menggesa semua seteru politik agar tidak lagi menggunakan nama Najib bagi propaganda politik supaya proses perundangan dan kehakiman yang adil dilaksanakan.

“Anak guam kami yakin peluangnya untuk dibebaskan dari penjara melalui permohonan semakan yang dikemukakan sejajar dengan Kaedah 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

“Permohonan anak guam kami berasaskan kepada isu bahawa Mahkamah Persekutuan menafikan hak perlembagaannya bagi pendengaran yang adil ketika rayuan.

“Peguam tidak diberikan peluang untuk bersedia secara mencukupi menyebabkan pembelaan tidak dapat mengemukakan hujah sekaligus menafikan hak anak guam kami mendapat pembelaan yang efektif di mahkamah,” kata kenyataan itu lagi.

Ujar Muhammad Shafee, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan tidak pernah menggunakan sesen pun dari RM42 juta bagi dirinya selain tidak pernah meminta atau ditawarkan sebagaimana digambarkan dalam perbicaraan SRC International Sdn. Bhd.

Selain itu, Mahkamah Tinggi semalam memutuskan semua barangan yang disita oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 ketika serbuan yang dikenali sebagai “Serbuan Pavillion dan Langgak Duta”, bukan hasil dari aktiviti haram.

“Barangan itu adalah hadiah yang diberikan kepada anak guam kami dan keluarganya melalui tempoh beberapa dekad oleh pelbagai orang kenamaan, ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN