IPOH: Kerajaan Perak menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus daripada keseluruhan pelaburan baharu disalurkan ke luar kawasan Perak Perdana (Perak Prime).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sasaran yang digariskan di bawah Prinsip Pengimbangan Wilayah dalam Rancangan Struktur Negeri Perak (RSN) 2040 (Kajian Semula) itu sebagai usaha memperkukuh pembangunan ekonomi yang lebih seimbang di seluruh negeri.
“Perancangan pembangunan setiap daerah dilaksana secara bersepadu berpandukan dokumen utama negeri seperti Pelan Perak Sejahtera 2030, RSN 2040 dan Rancangan Tempatan Daerah (RTD).
“Di bawah prinsip ini, sekurang-kurangnya 40 peratus pelaburan baharu disalurkan ke luar kawasan Perak Perdana,” katanya ketika menjawab soalan lisan S. Wasanthee (PN-Hutan Melintang) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.
Menurut Saarani, Hutan Melintang merupakan penerima manfaat utama strategi itu apabila diangkat sebagai Pusat Bandar Sekunder yang berperanan menyokong pembangunan Wilayah Selatan Perak.
Katanya, daerah berkenaan juga termasuk di dalam Koridor Perbandaran Negeri yang menjadi pelengkap pertumbuhan dalam negeri dan Koridor Ekonomi Sempadan Rentas Negeri (KES) Hutan Melintang-Sungai Lang.
“Selaras dengan Teras Pembangunan Inklusif, kita sedang menyaksikan transformasi besar di Hutan Melintang melalui beberapa projek berimpak tinggi.
“Antaranya ialah pembangunan Hab Makanan Bersepadu QL Innofood Park dengan pelaburan bernilai RM1.3 bilion.
“Selain itu, pengukuhan ketersambungan rentas sempadan melalui pembinaan Jambatan Sungai Air Tawar bernilai RM210 juta yang menghubungkan Sabak Bernam ke Hutan Melintang akan membuka pintu ekonomi wilayah selatan negeri Perak,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang memperkukuh Hutan Melintang sebagai Hab Perikanan Negara melalui KES Hutan Melintang-Sungai Lang dengan projek Kompleks Perikanan LKIM bernilai RM3.0 juta untuk memodenkan rantaian bekalan hasil laut.
Malah katanya, pembangunan modal insan turut diberi keutamaan melalui penubuhan Malaysia-China Institute (MCI) di Simpang Empat bagi melahirkan anak muda tempatan berkemahiran tinggi.
“Kemajuan fizikal yang gah tidak akan bermakna tanpa keseimbangan sosial dan pemerkasaan ekonomi penduduk di peringkat akar umbi.
“Sebanyak 11 buah kampung di DUN Hutan Melintang telah menerima geran RM1.1 juta melalui program Sejati Madani merangkumi projek berorientasikan pertanian, pelancongan, perkhidmatan dan perusahaan makanan,” katanya. – UTUSAN










