Mesyuarat Kabinet selepas jemaah menteri dilantik

Mesyuarat Kabinet selepas jemaah menteri dilantik

ANWAR Ibrahim menyampaikan ucapan semasa hadir pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama penjawat awam di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Situasi ‘bergelora’ pelantikan anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang belum dibentuk mengakibatkan mesyuarat Kabinet yang lazimnya berlangsung setiap Rabu tidak dapat dilaksanakan hari ini.

Mesyuarat Kabinet menjadi platform penting kerajaan membuat keputusan secara kolektif membabitkan pelbagai isu berkepentingan rakyat dan memutuskan pelaksanaan dasar serta polisi negara.   

Selepas enam hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada Khamis lalu, Anwar belum mengumumkan barisan Kabinetnya, dipercayai kerana masih berbincang dengan parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan dan memikirkan keadilan kepada mereka.

Jika mengambil kira situasi ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-7 selepas PRU14, beliau mengumumkan senarai penuh barisan Kabinet lapan hari selepas mengangkat sumpah sebagai mengetuai kerajaan.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir terlebih dahulu mengumumkan tiga jawatan kementerian yang paling kanan dua hari selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 10 Mei 2018. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengambil tempoh lebih kurang sama mengumumkan senarai Kabinet pimpinannya iaitu selepas lapan hari dilantik Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac 2020 ekoran peletakan jawatan Dr. Mahathir pada 24 Februari 2020. 

Tempoh lebih singkat diambil Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membentuk pasukan Kabinet beliau iaitu selama enam hari selepas dilantik Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021. 

Kelewatan pengumuman barisan jemaah menteri kerajaan baharu ini ekoran pelantikan Perdana Menteri yang tertangguh selama enam hari ekoran ketiadaan gabungan parti politik menang majoriti 112 kerusi, mengakibatkan Parlimen tergantung selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Namun, kekusutan itu dileraikan Yang-di-Pertuan Agong melalui cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan diketuai Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan parti gabungan lain tidak termasuk Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, mesyuarat Kabinet tidak boleh dijalankan selagi tidak ada lantikan jemaah menteri sebagaimana diperuntukan dalam 43(3) dan seiiring dengan prosedur angkat sumpah menurut 43(6) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, Perdana Menteri perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk ahli Jemaah Menteri bagi melaksanakan fungsi kuasa eksekutif baginda seperti yang ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan menurut Perkara 39 Perlembagaan. 

“Keanggotaan Jemaah Menteri boleh dilantik oleh Seri Paduka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

“Mereka yang terlantik sebagai ahli Jemaah Menteri disyaratkan terlebih dahulu mengikrarkan sumpah berjawatan, taat setia dan menyimpan rahsia di bawah Jadual Keenam sebelum boleh melaksanakan fungsi tugas masing-masing,” katanya di sini semalam.


WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN

Dalam perjumpaan kali pertama Anwar bersama penjawat awam semalam, beliau mengakui proses lantikan anggota Kabinet masih dalam tempoh ‘bergelora’, namun beliau menasihatkan rakan-rakannya yang dipilih sebagai menteri dalam masa terdekat  menghormati proses kerjasama dengan penjawat awam sebagai tonggak dalam mencipta kejayaan negara serta mengekalkan sistem peraturan tadbir urus yang cekap.

Anwar sebelum ini meletakkan komitmen pembentukan Kabinet di bawah pimpinan beliau adalah bersaiz kecil iaitu tidak dianggota jemaah menteri yang ramai.

Untuk rekod bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantik seramai 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.

Wan Ahmad Fauzi yang juga Pensyarah dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu berkata, fungsi tugas khusus seorang jemaah menteri boleh ditetapkan mengikut kehendak Akta Fungsi Menteri (Ministerial Functions Act).

Beliau menjelaskan, Kerajaan Malaysia ialah Kerajaan Yang di-Pertuan Agong yang dibantu oleh syura Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. 

Kata beliau, ada perkara yang mensyaratkan baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri, serta terdapat perkara yang prerogatif baginda masih tersimpan dan baginda boleh bertindak mengikut budi bicara sebagai raja berperlembagaan yang berdaulat.

Semalam, akhbar ini melaporkan berhubung gesaan kepada Anwar agar menyegerakan pelantikan lima menteri membabitkan kementerian-kementerian bagi memastikan isu berkaitan rakyat yang berlarutan sejak lima tahun lalu dapat diselesaikan secepat mungkin.

Kementerian tersebut adalah Pendidikan; Pertahanan; Kewangan/Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ini berikutan pelantikan penuh Menteri Kabinet dijangka berlarutan sehingga pertengahan Disember tahun ini berikutan isu-isu bertindih melibatkan parti-parti gabungan.

Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, ini kerana Perdana Menteri dilihat tersepit untuk menyenaraikan nama menteri dan timbalan di bawah pimpinannya, dalam masa yang sama beliau perlu memikirkan keadilan untuk setiap parti dalam kerajaan perpaduan itu.

Dalam hal ini juga, sumber turut mendakwa keadaan lebih kritikal apabila wujud perebutan jawatan Timbalan Perdana Menteri di samping perebutan sesetengah parti untuk jawatan menteri kanan seperti Pertahanan, Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri.

Pada masa sama, terdapat desakan pelbagai pihak termasuk veteran politik dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya mereka yang terbabit dalam Kluster Mahkamah tidak dilantik dalam Kabinet. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.