Majlis Raja-Raja saran 5 ahli JAC tidak dilantik PM

Majlis Raja-Raja saran perdana menteri tidak lantik ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman

YANG di-Pertuan Agong berkenan menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang dipengerusikan Tuanku Muhriz di Istana Negara, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Raja-Raja menyarankan pelantikan lima lagi ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak dibuat oleh Perdana Menteri. 

Pengerusinya, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, JAC memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan pelantikan hakim. 

Titah baginda, proses pelantikan hakim di Malaysia pada masa ini dilihat mempunyai kelemahan, namun masih boleh diperbaiki.

Justeru, baginda bertitah, keanggotaannya adalah kritikal untuk memastikan JAC terus menjadi amalan dan pegangan semua berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber.

“Pada masa ini, JAC mempunyai sembilan keahlian. Empat ahli JAC merupakan hakim yang sedang memegang jawatan terkanan manakala lima lagi ahlinya adalah individu yang dilantik oleh Perdana Menteri. 

“Untuk memastikan JAC bebas dalam tanggungjawab, Beta mencadangkan agar melaksanakan pelantikan lima ahli-ahli JAC tidak dibuat oleh Perdana Menteri. Sebaliknya ia diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen. 

“Dengan kaedah sebegini, keanggotaan JAC akan lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak,” titah baginda dalam perutusan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-260 di Istana Negara, hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan, hari kedua mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang bermula sekitar pukul 10 pagi ini tamat sekitar pukul 12.45 tengah hari, selepas berlangsung selama hampir dua jam. 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat ke mesyuarat berkenaan dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut berkenan berangkat ialah Sultan Perak, Sultan Johor, Sultan Selangor, Sultan Kedah, Raja Perlis, Pemangku Raja Pahang dan Tengku Mahkota Kelantan. 

Mesyuarat dua hari itu bermula semalam itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 Jun lepas yang dipengerusikan Raja Perlis. 

Mengulas lanjut, Tuanku Muhriz bertitah, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 juga mencadangkan supaya struktur JAC turut dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahli JAC sedia ada dan badan-badan guaman yang dinyatakan sebelum ini serta institusi atau pemegang taruh lain yang relevan. 

“Sekiranya semua ini dilaksanakan, Beta yakin JAC mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah dalam kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil,” titah baginda. 

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah, kerajaan baharu agar mendukung dan memperkukuhkan prinsip-prinsip Rukun Negara yang diisytiharkan oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong keempat pada 1970.

Menurut baginda, semua Ahli Parlimen yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga perlu melaksanakan tanggungjawab berasaskan prinsip-prinsip yang telah digariskan dalam Rukun Negara.

“Semangat dan nilai-nilai prinsip Rukun Negara hendaklah seharusnya menjadi amalan serta pegangan semua rakyat dan bukan sekadar tulisan dalam bahan bacaan sahaja. Sehubungan itu, Beta mencadangkan agar lafaz ikrar Rukun Negara terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam majlis-majlis yang bersesuaian. 

“Lafaz ikrar Rukun Negara juga hendaklah diketuai oleh para pemimpin yang dilantik dan bukan lagi dari kalangan belia yang bersuara lantang. Ini akan membuktikan bahawa kerajaan serius dalam menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan rakyat Malaysia. 

“Dalam titah mesyuarat kali ini, Beta ingin memetik dua daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang. Kedua-dua prinsip ini amatlah penting untuk memastikan agensi-agensi penguatkuasaan dan Badan Kehakiman bebas daripada sebarang pengaruh luar dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” titah Baginda. 

Mengakhiri titah, Tuanku Muhriz menyeru kerajaan baharu untuk memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya. 

Baginda berharap supaya tiada lagi pemimpin yang membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan untuk menghasut masyarakat. 

“Beta turut menggesa agar kerajaan baharu menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memacu negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Beta ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Maha Mulia Paduka Kekanda, Paduka Adinda dan Paduka Anakanda Raja-Raja serta Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua – Yang di- Pertua Negeri. 

“Semoga Allah S.W.T melimpahi keamanan dan kemakmuran kepada Malaysia dan rakyatnya terus diberkati serta dianugerahkan kesejahteraan yang berkekalan,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya