Mahasiswa mahukan kerajaan stabil, fahami anak muda

Mahasiswa mahukan kerajaan stabil, fahami anak muda

Dari kiri: WAN AMSYAR HADIE WAN MAHADI, MUHAMMAD AMIR ASYRAF MOHD. SABRI, MUHAMMAD ZUL FIKRI SALLEHUDDIN, RASYDAN MOHD. HASSAN, MUHAMMAD SAIFUL AMIRUL SHAHRUL NIZAM dan MOHAMMAD HAZIQ ZIKRI ZAINURI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan stabil, aman dan memperjuangkan nasib anak muda termasuk mengatasi masalah pengangguran mahasiswa antara ciri yang diinginkan terhadap parti-parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, mahasiswa kini cenderung untuk memilih sebuah kerajaan yang memperjuangkan dan mengutamakan isu-isu berkaitan mereka.

Menurutnya, kebanyakan ma­hasiswa kini lebih menjurus memilih parti politik yang mengutamakan nasib mereka dan tidak hanya berbalah sesama sendiri demi kepentingan diri masing-masing.

“Pada pandangan saya, maha­siswa tidak suka dengan keada­an politik yang tidak stabil dan bergaduh sesama sendiri seperti yang kita lihat sekarang,

“Jadi, apa yang mahasiswa inginkan, mereka lebih cende­rung dalam memilih parti politik dan kerajaan akan datang yang lebih aman, stabil dan juga makmur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kata Wan Amsyar Hadie, pemilihan parti bagi mahasiswa adalah bergantung kepada ke­kuatan manifesto parti tersebut yang prihatin dan cakna akan isu semasa mahasiswa.

Sementara itu, Presiden Alum­ni Majlis Perundingan Pe­lajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd. Sabri berkata, bagi PRU kali ini mahasiswa menginginkan pemimpin yang senang didekati mahasiswa.

Jelasnya, pemimpin untuk calon PRU15, haruslah bersikap akauntabiliti, bersikap amanah dan berintegriti tinggi.

“Kami berharap dengan apa yang terjadi pada PRU14, tidak akan berlaku lagi pada PRU15, setelah apa yang dijanjikan kepada mahasiswa, namun, gagal direalisasikan sepenuhnya oleh pemimpin politik,” katanya.

Beliau berkata, suara maha­siswa menginginkan agar kerajaan dapat memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada graduan, dengan itu kadar pe­ngangguran di negara ini dapat dikurangkan.

Tambahnya, antara isu lain yang perlu difokus oleh kerajaan yang akan datang ialah hala tuju pendidikan yang lebih efisien.

“Saya berharap agar silibus dalam bidang pengajian tinggi yang ditawarkan di setiap Ins­titut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini dapat dikaji semula, agar kualiti pendidikan negara dapat ditingkatkan.

Muhammad Amir juga berharap agar kerajaan boleh menambahkan inisiatif-inisiatif ser­ta bantuan kepada mahasis­wa.

Beliau berkata, untuk keraja­an akan datang, barisan peme­rintahan diharap terdiri daripada pemimpin berwajah baharu dan dapat memberi nafas baharu kepada barisan kepemimpinan negara.

“Dengan adanya pemimpin yang lebih muda, akan adanya idea-idea baru yang dapat diketengahkan,” katanya.

Sementara itu, YDP MPP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Zul Fikri Sallehuddin berkata bahawa mereka tidak mahu kerajaan yang bertukar-tukar seperti sebelum ini.

Menurutnya, mereka tidak mahu kerajaan yang bersikap pilih kasih dalam menghulurkan bantuan ketika menjadi kerajaan yang memerintah kelak.

Bagi mahasiswa yang pertama kali mengundi pula, beliau berharap dengan adanya teknologi terkini dan media sosial yang memaparkan apa-apa sahaja berkenaan parti tersebut, mahasiswa boleh membuat penilaian sendiri.

Beliau juga berharap agar mahasiswa yang dapat memilih parti yang dijangka kuat dan berpotensi untuk menang besar pada PRU15.

YDP MPP Universiti Teknologi MARA (UITM), Rasydan Mohd. Hassan berkata, calon PRU yang akan memenangi keru­si di parlimen bagi nanti, bu­kan sahaja harus menggerakkan apa-apa inisiatif tetapi juga perlu memastikan ada keadilan.

Beliau berkata, parti yang menang menjadi kerajaan sele­pas PRU15, boleh menumpukan kepada masalah penyelesaian terbaik bagi kos sara hidup rak­yat yang meningkat.

“Kita dapat lihat bahawa sejak Covid-19 melanda, kos sara hidup rakyat semakin meningkat dan kesannya turut dirasai kebanyakan mahasiswa.

“Kita pasti mahukan pembukaan ekonomi baharu, yang dapat menjamin jangka masa panjang penduduk, di samping memberi pekerjaan semata-mata,” jelasnya.

Tambahnya, sejak pelaksa­na­an Undi18, majoriti besar mahasiswa yang pertama kali akan mengundi dengan lebih banyak menerima informasi sesuatu calon, ia boleh menjadi kelebihan untuk mahasiswa mengundi calon tersebut.

Dalam pada itu, YDP MPP, Uni­versiti Malaysia Kelantan (UMK), Muhammad Saiful Ami­rul Shahrul Nizam berkata, ma­hasiswa pada waktu kini inginkan kestabilan daripada parti-parti politik kerana daripada situ boleh menjurus kepada keadaan ekonomi yang stabil.

“Bila ekonomi stabil, ringgit juga akan naik. Jadi, bantuan-bantuan boleh diberikan kepada mahasiswa-mahasiswa dan apa yang kita tengok sekarang, parti-parti politik ini tidak seharusnya mengetepikan golongan pelajar, mereka juga perlu menitikberatkan dan mengutamakan kebajikan mahasiswa.

“Kalau boleh, mahasiswa-mahasiswa mahukan kembali pucuk pimpinan kerajaan yang lepas atas faktor kebajikan pelajar yang bagi saya terjaga de­ngan baik kerana sebelum ini kami menerima bantuan seperti bantuan baucar buku, kad prihatin dan sebagainya, jadi saya harap perkara seperti itu akan kekal kerana ia banyak membantu kami dari aspek kewa­ngan,” ujarnya.

Tambah Saiful, fleksibiliti juga penting dalam memilih parti politik yang betul kerana bukan sahaja mereka akan memilih parti politik yang meng­utamakan kebajikan pelajar te­tapi juga parti-parti yang akan mengotakan janji mereka dan bukanlah hanya sekadar janji kosong.

YDP MPP Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohammad Haziq Zikri Zainuri juga mempunyai pendapat yang sama kerana baginya, mahasiswa kini lebih memilih kerajaan atau parti politik yang akan mengangkat dan memperjuangkan suara-suara golongan belia.

Mohammad Haziq berpenda­pat, manifesto-manifesto yang menitikberatkan tentang eko­nomi adalah suatu perkara yang bagus kerana ia dapat memberi manfaat kepada pelajar terutamanya yang kurang berkemampuan.

“Apa yang saya lihat sekarang, perkara kritikal adalah dari segi ekonomi kerana seperti yang kita tahu, kos sara hidup sangat tinggi dan perkara ini sudah tentu memberi kesan besar kepada mahasiswa kerana bukan semua berkemampuan dalam menampung kos sara hidup mereka.

“Jadi bagi saya, penting untuk para pelajar ini melihat manifesto-manifesto atau perkara yang parti politik ini janjikan sebelum mereka mengundi kerana secara tidak langsung ia dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN