Lelaki mental rampas dakwat, tolak kotak undi - Utusan Malaysia

Lelaki mental rampas dakwat, tolak kotak undi

malaysia mengundi pru15
Malaysia Mengundi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Seorang lelaki mempunyai masalah mental dikesan membuat kekecohan dengan merampas dakwat serta menolak peti undi di Pusat Daerah Mengundi di Ulu Yam, Hulu Selangor, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 27 tahun berkenaan dikatakan merampas dakwat dan menolak kotak undi sehingga jatuh.

“Bagaimanapun lelaki tersebut didapati mempunyai rekod sebagai pesakit mental.

“Selain itu, kita mengesan tiga kes membabitkan pengundi yang meninggal dunia ketika beratur untuk mengundi membabitkan satu kes di Kota Bharu, Kelantan dan dua kes di Johor,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak disini hari ini.

Dalam pada itu Acryl berkata, beliau sempat melakukan tinjauan di empat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Amanpuri, Damansara; SK Intan Baiduri, Kepong; SK Setapak Indah dan SK Sungai Kertas, Sri Gombak.

“Saya dimaklumkan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bahawa hampir 46 peratus pengundi mengundi sehingga pukul 12.45 tengah hari tadi.

“Berdasarkan tinjauan dilakukan, saya mendapati pengundi berpusu-pusu keluar menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi menyebabkan keadaan beberapa pusat mengundi mengalami kesesakan.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan kesesakan di beberapa lokasi mula reda sejak 10.30 pagi tadi, ada tempat (pusat mengundi) tidak lagi perlu beratur di luar premis,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan keadaan agak lengang di pusat mengundi menjelang petang ini memandangkan ramai pengundi sudah menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi.

“Melihat kepada keadaan itu, saya percaya proses mengundi sehingga pukul 6 petang nanti akan kembali reda berbanding pagi tadi.

“Meskipun keadaan sesak pada sebelah pagi, namun ia terkawal sekali gus memperlihat masyarakat adalah matang dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berhemah, tenang dan tenteram,” katanya.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan pihak polis menjelang pengumuman keputusan malam ini, beliau meminta semua pihak supaya menerima apa jua keputusan diumumkan.

“Apa jua keputusan yang akan diumumkan malam ini, kita harap semua pihak menerima keputusan dengan lapang dada.

“Sebagai persediaan, kita pasti sudah bersedia untuk menangani apa juga situasi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya