Kembar seiras bersyukur dapat tempat kerja sama di Singapura

Kembar seiras bersyukur dapat tempat kerja sama di Singapura

PASANGAN kembar, Amirah Syahirah (dua dari kiri) dan Amirah Syafirah Rizal bersama ibu bapanya Rizal Hasan dan Suriyani Abdullah sempena Konvokesyen UTM ke 66 di UTM, Skudai Johor Bahru disini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasangan kembar seiras Amirah Syafirah dan Amirah Syahirah Rizal teruja mencapai cita-cita menjadi jurutera bagi membantu mengubah nasib dan ekonomi keluarga mereka.

Amirah Syafirah, 23, memberitahu, lebih manis lagi apabila cita-cita itu dikongsi bersama sekali gus menamatkan pengajian dan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Elektrik dan Elektronik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dia dan adik kembarnya tidak pernah berpisah sejak kecil apabila memasuki kelas dan sekolah sama, sehingga menjadi rakan sebilik dan rakan sekelas sepanjang empat tahun pengajian di UTM.

“Alhamdulillah, kami berdua juga telah mendapat pekerjaan di sebuah syarikat kejuruteraan di Changi, Singapura dan akan mula bekerja pada 12 Disember ini, juga bersama-sama.

“Fokus kami untuk bekerja bagi membantu keluarga kerana dalam lapan beradik, saya dan Syahirah yang merupakan anak keenam dan ketujuh adalah yang pertama memasuki universiti.

“Jadi, walaupun ada cita-cita untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, namun, kami mahu bekerja terlebih dahulu bagi membantu keluarga,” katanya sambil memaklumkan bapanya seorang bekas pemandu bas manakala ibunya tidak bekerja akibat masalah kesihatan.

Pasangan kembar itu ditemui pada Majlis Konvokesyen Ke-66 UTM, di sini hari ini.

Amirah Syahirah mengakui kelebihan melanjutkan pengajian bersama-sama kerana mereka saling melengkapi satu sama lain.

“Walaupun kami kembar seiras, namun, saya dan Syafirah mempunyai kelebihan masing-masing. Contohnya kakak mahir dalam membuat nota, manakala saya lebih gemar buat kira-kira.

“Jadi, apabila berdepan kesukaran dalam satu-satu subjek, kami akan bantu satu sama lain, begitu juga dalam kehidupan harian, apabila salah seorang daripada kami berasa ‘down’, seorang lagi akan bantu pulihkan semangat.

“Saya lihat itu sebagai kelebihan kami kerana pasangan kembar lain yang kami kenal mereka sudah ‘berpisah’ mengikut minat masing-masing. Alhamdulillah kami berkongsi minat yang sama,” jelasnya.

Pasangan kembar seiras itu merupakan antara 7,934 graduan yang menerima skrol masing-masing daripada UTM, termasuk 755 graduan antarabangsa dari 42 negara. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya