KOTA BHARU: Luluh hati seorang ibu apabila anak lelakinya, Muhammad Yusuf Mohd. Azmi, 2, yang sihat serta aktif sebelum ini hilang upaya untuk bergerak selepas dikesan menghidap penyakit hemofilia hujung tahun lalu.
Hamizah Hamdan, 29, berkata, anak tunggalnya itu mula dikesan menghidap penyakit tersebut selepas diserang sawan selain terdapat kesan lebam yang sering berlaku di bahagian tubuhnya.
“Pada awalnya, saya mula melihat kesan lebam di bahagian tubuh Yusuf ketika berusia lima bulan dan menyangka ia adalah lebam biasa memandangkan dia berada dalam keadaan sihat dan aktif seperti anak-anak seusianya.
“Namun, setelah berusia setahun, dia sering diserang sawan dan demam sebelum disahkan menghidap penyakit hemofilia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Dendang, Ketereh, di sini semalam.
Hamizah memberitahu, selain itu, Yusuf juga dikesan menghidap dystonia iaitu sejenis sawan, kejang pada saraf dan perlu bergantung sepenuhnya kepada ubat selain terpaksa berulang-alik seminggu sekali untuk mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
Katanya, kos perbelanjaan untuk segala kelengkapan Yusuf agak tinggi dan dia bergantung sepenuhnya kepada hasil pendapatan suaminya, Mohd. Azmi Mohd. Zinun, 39, yang berniaga di pasar malam.
“Yusuf memerlukan pemantauan rapi kerana dia perlu diberikan ubat setiap masa bagi mengelak berlaku kekejangan pada sarafnya.
“Selain itu, Yusuf juga hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang disalur melalui tiub,” jelasnya.
Sehubungan itu, bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga tersebut boleh terus menghubungi Hamizah di talian 019-426 9894 atau ke akaun Bank Islam Hamizah Hamdan (03102020055671). – UTUSAN










