BATU PAHAT: Terdapat pihak tertentu dalam kalangan parti politik yang didakwa berpakat untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, tindakan itu didorong oleh ketegasan Kerajaan Madani yang tidak berkompromi terhadap amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Katanya, pendekatan tegas kerajaan dalam memastikan wang rakyat tidak diseleweng serta kuasa tidak disalah guna menjadi punca ketidakselesaan sesetengah pihak.
“Sekarang ini tuan-tuan tahu, ada usaha pelbagai pihak untuk jatuhkan saya. Kenapa? Sebab mereka tahu kita tegas, kita jaga semua,” katanya sewaktu berucap pada majlis Ramah Mesra Bersama PMX di kedai kopi Ah Foo Senggarang di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Komunikasi PH yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Tambah Anwar, beliau tidak gentar dengan tekanan politik yang dihadapi kerana berpegang kepada prinsip pentadbiran yang jelas.
Katanya, kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan membenarkan mana-mana pemimpin menggunakan kedudukan untuk mendapatkan tanah, projek, saham atau kepentingan peribadi.
“Sepanjang beberapa siri lawatan ke Johor sebagai Perdana Menteri, beliau tidak pernah mengambil sebarang bentuk kepentingan di negeri berkenaan.
“Saya datang Johor berpuluh kali, saya ambil tanah? Tidak. Saya ambil projek? Tidak ada. Saya ambil saham? Tidak ada. Kita kena ajar wakil rakyat kita, negeri baik, jaga prinsip ini,” katanya. – UTUSAN










