Kampung Bohor Baru membangun di bawah Ismail Sabri

Kampung Bohor Baru membangun di bawah Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan penduduk selepas menghadiri Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baru, Bera, Pahang, semalam. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Perkampungan Bohor Baru di sini yang dibuka sekitar 1986 tidak terpinggir daripada menikmati arus pembangunan yang menyaksikan banyak projek dilaksanakan untuk kampung tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk kampung itu, Abdul Rafor Syed Ibrahim, 74, berkata, sejak mula didiami 187 ketua isi rumah, kampung tersebut terus membangun dan memiliki kemudahan setanding kawasan bandar.

“Penduduk yang juga peserta Felcra generasi pertama Kampung Bohor memperoleh lot ladang sawit seluas kira-kira 2.4 hektar dan suku ekar tapak rumah.

“Kami berterima kasih kepada Barisan Nasional (BN) khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang begitu peka dengan keperluan rakyat di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Junid, 82, berbangga Kampung Bohor Baru berubah wajah bebas banjir kerana terletak di kawasan tinggi.

Katanya, kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik, air, sekolah dan masjid disediakan dengan lengkap oleh kerajaan BN sebelum ini.

Tegasnya, penduduk tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan Ismail Sabri sebagai pemimpin berwibawa dan bertanggungjawab.

Said Sidek, 72, pula mengakui selesa dengan kehidupan sekarang sebagai peserta Felcra yang turut memperoleh dividen kira-kira RM30,000 sehingga Oktober ini.

Oleh itu tegasnya, kepimpinan Ismail Sabri yang merupakan calon BN Parlimen Bera perlu diberikan sokongan padu supaya agenda pembangunan berjalan lancar.

Seorang lagi penduduk, Norhani Mohd. Yusof, 53, berkata, Kampung Bohor Baru telah mendapat suntikan dana lebih RM400,000 daripada Ahli Parlimen Bera yang juga Perdana Menteri untuk pelbagai projek pembangunan di kampung ini.

Menurutnya, antara projek yang sedang dan telah dilaksanakan ialah menaiktaraf padang awam, membaiki jalan raya, bekalan air dan pembesaran masjid.

Generasi muda, Norin Marhayu Mohd. Seth 20, mengakui kagum dengan kepimpinan Ismail Sabri sebagai wakil rakyat Parlimen Bera.

Menurutnya, selaku pemimpin nombor satu negara beliau kerap turun ke Bera termasuk Kampung Bohor Baru membawa projek pembangunan untuk rakyat.

“Saya sebagai pengundi kali pertama berikrar mengundi calon BN lambang dacing kerana yakin dengan kepimpinan Ismail Sabri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya