fbpx

Kadar pengangguran siswazah Sabah mencecah 8.4 peratus

BANGUNAN DUN Sabah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kadar pengangguran dalam kalangan siswazah di Sabah merekodkan peratusan tertinggi dengan 8.4 peratus pada tahun lalu berbanding 8.1 peratus pada 2019.

Namun, semasa pandemik Covid-19 pada tahun 2020, kadar pengangguran siswazah mencecah sehingga 9.5 peratus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan P. Gani Pg Amir berkata, selepas pandemik Covid-19, kadar kemiskinan di Sabah meningkat kepada 8.2 peratus pada tahun 2021 berbanding 5.8 peratus pada 2019.

“Pada suku kedua tahun ini pula, kadar kemiskinan itu terus merekodkan kadar pengangguran tertinggi iaitu 8.6 peratus.

“Sabah juga salah satu daripada lima negeri yang ketinggalan dari arus pembangunan selain Sarawak, Kedah, Kelantan dan Perlis,” katanya dalam ucapan perbahasan Bajet Negeri 2023 di DUN Sabah hari ini.

Melihat kepada peratusan yang tinggi itu, golongan belia harus terlibat secara aktif dalam aktiviti pembangunan ekonomi agar kadar pengangguran dalam kalangan belia luar bandar dan graduan baharu dapat dikurangkan.

Mengulas lanjut katanya, berdasarkan laporan Bank Dunia pada 2020, hampir 36 peratus daripada rakyat yang hidup dalam kemiskinan di negara ini berada di Sabah.

“Secara keseluruhan, kadar kemiskinan di Sabah adalah yang tertinggi di negara ini iaitu lebih tiga kali ganda daripada purata kemiskinan negara manakala, kadar kemiskinan di daerah Tongod pula berada pada kira-kira 57 peratus atau sekitar 10 kali ganda purata kemiskinan negara,” katanya.

Selaras dengan tema Bajet Negeri 2023 ‘Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera’, beliau menggesa kerajaan memberi tumpuan untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu.

Di samping itu, kerajaan juga perlu mempergiat program-program pembasmian kemiskinan sebagai usaha untuk mengurangkan pengangguran seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah dan kumpulan sasar. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN