SEPANG: Usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri memilih untuk menaja pakej umrah kepada pekerjanya sebagai tanda penghargaan atas komitmen serta kesetiaan mereka membangunkan perniagaan bersama.
Menurut Aliff Syukri, hasrat membawa mereka ke Tanah Suci sudah lama dipendam sebagai tanda penghargaan atas kesetiaan dan pengorbanan sepanjang bersama membangunkan empayar perniagaannya.
“Apa yang berlaku hari ini sebenarnya adalah impian kami. Bila dapat menggembirakan pekerja dan rakan niaga, saya rasa itu satu kepuasan.
“Ini adalah cara kami berkongsi rezeki dengan mereka yang banyak membantu perjalanan perniagaan kami,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan kumpulan jemaah umrah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Aliff Syukri mengakui beliau sekeluarga sudah lama mempercayai Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. untuk menguruskan perjalanan umrah mereka.
Katanya, pengalaman kurang memuaskan menggunakan agensi lain sebelum ini membuatkan beliau lebih selesa kekal bersama syarikat berkenaan.
“Kami pernah pergi dengan agensi lain tetapi agak mengecewakan. Sebab itu kami memilih Andalusia kerana sudah lama bersama mereka.
“Saya sendiri sudah lebih lima atau enam kali menggunakan khidmat mereka, manakala keluarga saya pula sudah lebih 15 tahun bersama Andalusia,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Abang Nak Tegur itu lagi, beliau lebih mementingkan kualiti perkhidmatan berbanding harga yang murah.
“Kami nak agensi yang boleh dipercayai. Bagi saya, apa yang kita bayar mestilah setimpal dengan perkhidmatan yang kita terima.
“Alhamdulillah, sepanjang menggunakan khidmat Andalusia semuanya dipermudahkan dan kami tidak perlu risau mengenai urusan perjalanan,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 91 jemaah berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia, termasuk seramai 47 orang yang terdiri daripada pekerja serta ahli keluarga Datuk Seri Aliff Syukri dan isterinya, Datin Seri Nur Shahida Mohd. Rashid. – UTUSAN










