Jenazah legenda bola sepak Kelantan, Hashim Mustapa selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah legenda bola sepak Kelantan, Hashim Mustapa selamat dikebumikan

JENAZAH Mohd. Hashim Mustapa diusung untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chapi, Kampung Baung Bayam, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARULZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jenazah legenda bola sepak Kelantan, Mohd. Hashim Mustapa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chapi, Kampung Baung Bayam di sini hari ini.

Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis.

Mohd. Hashim yang merupakan penyerang terbilang Skuad Kijang era 80 dan 90-an itu selamat dikebumikan pada pukul 10.35 pagi tadi.

Terdahulu jenazah pemain yang gemar menggunakan jersi No.10 itu disembahyangkan di Masjid Al-Husna yang dihadiri lebih 1,000 ahli keluarga, jiran tetangga dan sahabat serta bekas tonggak pasukan Kelantan.

Media melaporkan, Mohd. Hashim, 57, yang sebelum ini terpaksa ditidurkan selepas mengalami masalah komplikasi kencing manis meninggal dunia pada pukul 10.25 malam.

Pada 26 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Mohd. Hashim terpaksa ditidurkan selepas mengalami masalah komplikasi kencing manis.

Sebelum itu, kaki kiri Mohd. Hashim terpaksa dipotong selepas salur darah tersumbat akibat jangkitan kuman yang dialami sejak Mac lalu.

Terdahulu akhbar ini juga pada 24 April lalu melaporkan, Mohd. Hashim menderita akibat jangkitan kuman di pergelangan kaki kanan selepas terjatuh da­ri motosikal yang ditungganginya Mac lalu.

Kejadian itu berlaku semasa Mohd. Hashim keluar untuk menjalankan tugas sebagai pe­ngendali skuad Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam Liga M3.

Ekoran itu, kaki kanannya kini bengkak secara mengejut menyebabkan dia tidak dapat memakai kasut seperti biasa.

Sepanjang bergelar pemain bola sepak, Mohd. Hashim pernah merangkul anugerah penja­ring terbanyak Liga Perdana 1993 dan 1994.

Selain Kelantan, Mohd.Hashim pernah menyarung jersi pasukan Kedah, Johor, JKR Kelantan dan TNB Kelantan serta membantu skuad kebangsaan meraih pingat perak pada Sukan SEA 1987 di Jakarta, Indonesia.

Allahyarham pernah menjadi penolong jurulatih pasukan Kelantan serta ketua jurulatih MOF FC, skuad Piala Presiden Kelantan dan D’AR Wanderers FC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya