Selangor masih juara ekonomi Malaysia walaupun Johor catat pertumbuhan tertinggi

Selangor masih juara ekonomi Malaysia walaupun Johor catat pertumbuhan tertinggi

Dr. Sathia Prakash Nadarajan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dakwaan kononnya Johor telah mengatasi Selangor sebagai negeri paling maju dan paling penting kepada ekonomi negara disifatkan tidak selari dengan fakta rasmi semasa.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membuktikan Selangor masih kekal sebagai enjin ekonomi nombor satu Malaysia.

Beliau berkata, laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Mengikut Negeri 2024 menunjukkan Selangor mencatat nilai ekonomi sebanyak RM432.1 bilion, sekali gus menjadi negeri dengan ekonomi terbesar di negara ini.

“Johor pula mencatat sekitar RM154 bilion. Ini bermakna saiz ekonomi Selangor hampir tiga kali ganda lebih besar berbanding Johor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, fakta itu sahaja sudah cukup untuk menolak dakwaan bahawa Johor telah mengatasi Selangor dari segi kekuatan ekonomi.

Dr. Sathia berkata, kekuatan ekonomi Selangor terus dipacu pelbagai sektor utama termasuk perkhidmatan, pembuatan, perdagangan dan kewangan, logistik, pengangkutan serta teknologi digital dan ICT.

Menurutnya, kedudukan strategik Selangor yang menempatkan Pelabuhan Klang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), rangkaian lebuh raya utama serta operasi syarikat multinasional menjadikan negeri itu pusat ekonomi paling penting di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau mengakui Johor sedang berkembang pesat susulan kemasukan pelaburan baharu, pembangunan pusat data dan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Namun katanya, kadar pertumbuhan yang tinggi tidak bermaksud Johor telah mengatasi Selangor dari segi saiz ekonomi.

“Negeri yang berkembang paling pantas tidak semestinya negeri yang mempunyai ekonomi terbesar. Perbezaan ini perlu difahami dengan jelas agar rakyat tidak dikelirukan oleh naratif politik,” katanya.

Jelasnya lagi, kejayaan Johor ketika ini juga hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran kerajaan MADANI.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN