BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, ketika ini pun beliau tidak menjadi Perdana Menteri atau menyandang apa-apa jawatan dalam kerajaan walaupun menjadi Presiden UMNO dan Pengerusi BN.
“Tiada isu beliau (Ismail Sabri) bukan calon PM (Perdana Menteri) (jika BN menang). Kita lihat poster beliau (Ismail Sabri) ada di mana-mana termasuk di Bagan Datuk,” katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat di sini semalam.
Sebelum ini kempen pihak lawan cuba melaga-lagakan Ahmad Zahid dan Ismail Sabri apabila berterusan memainkan isu Pengerusi BN itu akan mengetepikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika BN menang PRU15.
Kata Ahmad Zahid, pembangkang akan menggunakan apa sahaja isu yang boleh memberi kemenangan kepada mereka.
Jelas beliau, apa yang penting bagi BN ketika ini ialah harus melepasi jumlah kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan.
“Jadi, perkara itu tidak perlu ditimbulkan kerana proses untuk menjadi Perdana Menteri bukan hanya di tangan parti politik yang mempunyai gabungan parti-parti yang pelbagai tetapi juga kita harus menghormati kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.
“Perkara 43 (2)(1) Perlembagaan Negara menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti di dewan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad cuba mengalihkan isu apabila mendakwa berlaku kerjasama antara beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRU15.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai ‘bapa dalam melencongkan isu’, terpaksa membuat dakwaan itu kerana mengetahui partinya akan kalah teruk.
“Dr. Mahathir ini sering menganggap dirinya semua benar, spekulasinya kononnya benar.
“Beliau melakukan telahan demikian kerana khuatir partinya akan mengalami kekalahan teruk, terbukti apabila partinya meletakkan calon di semua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan semuanya kalah serta hilang wang deposit.
“Jadi, beliau tidak boleh menganggap popularitinya berada pada tahap ketika memerintah Malaysia selama 22 tahun,” katanya.
Semalam, ketika melancarkan Pejuang Sabah di Kota Kinabalu, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, Anwar selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan membantu menggugurkan kes mahkamah yang dihadapi Ahmad Zahid dan membebaskan Datuk Seri Najib Razak dari penjara sekiranya disokong menjadi perdana menteri.
Pengerusi GTA itu dipetik berkata, beliau mendapat maklumat Anwar dan Ahmad Zahid sudah mengadakan perbincangan untuk bekerjasama.
Sementara itu, Ahmad Zahid meminta calon PH Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin, bertanya Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, kenapa memotong peruntukan pembangunan di kawasan Parlimen tersebut ketika menjadi Menteri Kewangan sewaktu PH memerintah.
Jelasnya, pertanyaan itu harus ditanya terlebih dahulu sebelum mendakwa Bagan Datuk tidak membangun sepanjang lima penggal beliau menjadi ahli parlimen di situ.
Ahmad Zahid menjelaskan, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.3 bilion bagi pembangunan di Bagan Datuk ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.
“Tetapi, apabila PH mengambil alih kerajaan dan Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, beliau hanya meluluskan peruntukan RM900 juta sahaja, manakala yang lain ditarik balik atau dibatal,” jelasnya. – UTUSAN










