fbpx

Guna helikopter hantar peti undi ke Pos Orang Asli Gua Musang

SEBUAH helikopter jenis Weststar AW139 digunakan untuk menghantar peti undi ke enam pos Orang Asli pedalaman di Gua Musang, Kelantan hari ini. - FOTO/AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG: Sebuah helikopter jenis Weststar AW139 digunakan untuk menghantar 10 peti undi dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke enam pos pedalaman Orang Asli di daerah ini, hari ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Gua Musang, Ab. Pattah Hasbullah berkata, sebanyak 43 kenderaan pacuan empat roda juga turut digunakan bagi menghantar kira-kira 80 petugas melalui jalan darat sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok.

“Kita menghantar sebanyak 2 peti undi di Pos Simpor, Pos Gob (1), Pos Belatim (1), Pos Balar (2), Pos Bihai (2) dan Pos Hau (2) menggunakan perkhidmatan udara.

“Selain itu, kita turut membawa tujuh petugas ke Pos Simpor dan 10 petugas ke Pos Gob. Petugas itu termasuk Polis Pengiring, Polis Komunikasi (WTO) Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan Kerani Pengundian,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ab. Pattah memberitahu, sebanyak enam penerbangan dilakukan dengan tempoh masa kira-kira 15 minit hingga 20 minit bagi perjalanan sehala ke pos Orang Asli berkenaan.

Katanya, operasi tersebut berjalan lancar dan semua petugas pilihan raya di kawasan berkenaan sudah diberi taklimat. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN