Gangguan LRT Laluan Kelana Jaya: Kerajaan perlu jelaskan secara terperinci - Utusan Malaysia

Gangguan LRT Laluan Kelana Jaya: Kerajaan perlu jelaskan secara terperinci

ZAHIR Hassan cuba membuat kuih bakar ketika sesi walkabout di Medan Selera Seksyen 1 Wangsa Maju di Kuala Lumpur. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan menggesa kerajaan tampil memberi penjelasan komprehensif kepada rakyat mengenai masalah melanda transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya sehingga mengakibatkan penutupan 16 stesen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zahir berkata, walaupun LRT yang melalui Wangsa Maju hanyalah dua stesen namun penduduk kawasan itu antara penumpang terkesan teruk dengan penutupan stesen tersebut.

“Setakat ini, tiada penjelasan terperinci diberikan oleh kerajaan mahupun kementerian terbabit mengenai punca yang menyebabkan situasi kita alami ketika ini.

“Jika masalah itu disebabkan oleh penyelenggaraan secara berjadual atau prosedur penyelenggaraan pencegahan (preventive maintenance) atau kekurangan alat ganti, kerajaan seharusnya memikul tanggungjawab dengan menjelaskan perkara itu.

“Jangan biarkan rakyat dalam keadaan dilema seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi walkabout di Medan Selera Seksyen 1 Wangsa Maju, di sini.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memaklumkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya di 16 stesen dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari berikutan masalah teknikal.

Jelas Prasarana, pakar dan jurutera luar negara Thales Group Kanada menyertai pasukan jurutera Rapid Rail bagi mempercepat proses baik pulih gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC) pada LRT yang menjejaskan 16 stesen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.