EV: PDB bekerjasama dengan peserta industri

EV: PDB bekerjasama dengan peserta industri

MAJLIS menandatangani memorandum persefahaman antara PDB dengan peserta industri kenderaan elektrik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dalam usaha mempercepatkan penggunaan mobiliti elektrik, Petronas Dagangan Berhad (PDB) telah memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara tiga pihak dengan peserta industri utama iaitu, Gentari Green Mobility Sdn. Bhd., EP Blueshark Sdn. Bhd., Blueshark Holding Limited dan Handal Indah Sdn. Bhd.

Perkongsian strategik itu akan mengukuhkan lagi pe­ranan penting PDB dalam ke­seluruhan rantaian nilai mobiliti elektrik bersepadu dengan melancarkan stesen penukaran bateri untuk kenderaan dua roda elektrik; dan infrastruktur pengecasan untuk bas elektrik, kedua-duanya di stesen Petronas.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani yang memeterai MoU itu berkata, sementara te­rus mempelbagaikan perniagaan bukan bahan api, syarikat juga mempergiatkan usaha untuk menyokong mobiliti elektrik kerana ia akan membolehkan PDB merealisasikan potensi pertumbuhan pasaran kenderaan elektrik (EV).

“Ini diperkukuhkan lagi melalui kerjasama antara PDB dan Gentari, bersama EP Blueshark, Blueshark Holding Limited dan Handal Indah untuk mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk pengguna EV,” katanya dalam kenyataan.

MoU pertama mengenai kerjasama dalam perniagaan penukaran bateri dua roda elektrik, telah ditandatangani oleh Azrul; Pengerusi Eksekutif EP Blueshark, Hamidon Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Blueshark Holding, Jeff Chong Chen Wai.

MoU itu menyaksikan semua pihak bekerjasama dalam pembangunan perniagaan, bermula dengan pemasangan Stesen Tukar Bateri di sembilan stesen Petronas dalam pelaksanaan perintis dua peringkat. Pihak berkenaan kemudiannya akan meneroka kerjasama selanjutnya di sepanjang rantaian nilai kenderaan dua roda elektrik.

Kerjasama kedua pula dalam infrastruktur pengecasan bas elektrik komersial ditandata­ngani oleh Azrul bersama Ketua Pegawai Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli dan Pengarah Eksekutif Handal Indah, Lim Chern Chuen.

Melalui MoU itu, tiga stesen Petronas di Johor akan dipasang dengan pengecas DC pantas EV untuk memberi peluang pengecasan bas elektrik Handal Indah yang beroperasi di laluan itu, serta orang ramai.

“Projek perintis itu akan menyediakan PDB dengan pengalaman yang lebih mendalam, sebelum merangka penyelesaian terperinci kepada perniagaan yang berdaya maju untuk PDB,” kata syarikat itu dalam kenya­taan bersama.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing Berhad (EPMB), Hamidon Abdullah berkata, syarikat teruja kerana PDB mengiktiraf usaha dan ke­upayaan EVnya.

“Pendekatan kami ialah pendekatan berasaskan sistem untuk dilaksanakan bersama rakan kongsi utama kami. Kerjasama ini adalah mengenai meneroka rantaian nilai berpotensi tinggi di masa hadapan, dan cara kami boleh meletakkan diri dan rakan kongsi untuk mendapat manfaat daripada teknologi EV yang berkembang. Kami sangat gembira dan berbesar hati untuk bersama PDB dalam perjalanan ini,” katanya

Ketua Pegawai Operasi Gentari Green Mobility, M Haikal Zubir pula berkata, menangani pelepasan karbon daripada sektor pengangkutan merupakan langkah penting bagi Malaysia untuk menjadi sebuah negara rendah karbon menje­lang 2040.

Kata beliau, Gentari berbesar hati untuk bekerjasama dengan PDB dan Handal Indah dalam meneroka langkah elektrifikasi pengangkutan awam serta pembangunan ekosistem EV yang diperlukan untuk menyokongnya.

“Kami percaya ini adalah tindakan yang perlu untuk memberi impak yang bermakna dalam pengurangan pelepasan karbon untuk negara,” katanya.

Chern Chuen pula berkata, perkembangan baharu itu akan membantu syarikat meneroka arah aliran dan peluang baharu untuk pertumbuhan dalam sektor automotif, terutamanya dari segi elektrifikasi mobiliti dan memberi tumpuan terutamanya kepada penyelesaian mobiliti berasaskan kenderaan dengan pelbagai perkhidmatan pengurusan armada.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN