PETALING JAYA: Dua individu termasuk seorang kanak-kanak meninggal dunia dalam kemalangan dua kereta di Kilometer 452, Lebuh Raya Utara- Selatan arah selatan, Rawang dekat sini awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.29 pagi tadi.
“Seramai 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dan BBP Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami dimaklumkan terdapat kemalangan melibatkan dua kereta iaitu Proton Wira yang dipercayai berlanggar dengan Toyota Vios,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata, terdapat lapan mangsa dalam kejadian manakala dua daripadanya meninggal dunia.
Ujarnya, dua lagi parah dan empat lagi cedera ringan.
“Dua mangsa yang meninggal dunia adalah seorang lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan, manakala kedua-dua mangsa yang cedera parah adalah wanita.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
“Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan,” katanya.- UTUSAN










