Kes dadah babitkan artis calar imej keseluruhan produksi

Kes dadah babitkan artis calar imej keseluruhan produksi

Ahmad Idham Ahmad Nadzri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penahanan seorang pelakon wanita drama Gerak Khas 2.0 akibat penyalahgunaan dadah baru-baru ini di­sifatkan mencalarkan imej ke­seluruhan produksi walaupun insiden tersebut hanya melibatkan pelakon kurang popular atau ‘sendu’.

Pengarah dan penerbit, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 52, berkata, golongan artis sepatutnya bijak menilai kesan perbuatan mereka memandangkan identiti selebriti yang sering terlibat dengan aktiviti kelab malam dan bahan terlarang itu sememangnya sudah berada dalam pengetahuan warga industri.

“Kami sebenarnya sedia maklum mengenai segelintir artis yang gemar berkunjung ke kelab malam dan berdepan masalah disiplin termasuk gagal masuk set pada waktu pagi. Malah sehingga kini, masih ramai artis yang dikesan terus terlibat de­ngan penyalahgunaan dadah ini.

“Penonton di Malaysia mempunyai cara penilaian berbeza dan mereka sangat cepat meng­hukum mana-mana produk tempatan yang dikotori skandal pelakonnya melalui media sosial. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan pelakon terbabit, malah turut memberi kesan mendalam kepada keseluruhan imej produksi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, insiden seum­pama ini membolehkan pihak industri menilai kualiti sebenarseorang artis dan membahagikan mereka kepada dua kategori sama ada benar-benar faham tentang kerjaya lakonan atau sebaliknya.

“Saya tidak tahu latar belakang pendidikan pelakon yang kena tangkap ini. Kalau dia ada latar belakang pendidikan saya agak terkejut kerana sepatutnya mereka perlu bijak menilai dan faham tanggungjawab sebagai pelakon lebih-lebih lagi menggalas watak badan beruniform.

“Artis yang tidak cerdik ini rasa mereka okey dan mahu menjadi seperti orang biasa sahaja dengan alasan tidak mahu hipokrit.

“Golongan yang bercakap begini sebenarnya adalah pelakon bodoh yang merosakkan industri walaupun mereka sekadar pelakon sendu,” katanya.

Mengulas mengenai prinsipnya sebagai pengarah, beliau menegaskan keutamaannya dalam memilih pelakon sebelum ini sering disalah erti oleh segelintir pihak sebagai mengamalkan sikap pilih kasih.

“Sebelum ini mungkin orang ingat saya ada anak manja atau anak emas, tetapi mereka lupa saya cuma tidak mahu mengambil risiko bekerja dengan artis yang tidak cerdik. Sebagai pe­ngarah, saya tahu pelakon yang bermasalah ini,” tegasnya.

Terdahulu, industri hiburan gempar selepas seorang pelakon wanita ditahan pihak berkuasa di sebuah pusat hiburan di ibu negara selepas disyaki positif dadah jenis methamphetamine, baru-baru ini.

Pelakon wanita yang membintangi sebuah drama kepolisan terkenal itu ditahan bersama 17 individu lain dalam satu serbuan yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN