Dua pemancing terperangkap air pasang diselamatkan - Utusan Malaysia

Dua pemancing terperangkap air pasang diselamatkan

DUA pemancing yang terperangkap di atas batu ketika air pasang di kawasan Permatang Pasir, Pulau Betong berjaya diselamatkan Maritim Malaysia Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Dua pemancing yang terperangkap di atas batu ketika air pasang di kawasan Permatang Pasir, Pulau Betong, di sini berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pusat operasi Maritim Malaysia negeri menerima panggilan kecemasan daripada pengadu bersama rakan yang terperangkap di atas batu ketika air pasang pukul 10.10 malam tadi.

”Sebaik sahaja menerima laporan tersebut, bot ronda PERKASA 1220 telah diatur gerak ke lokasi aduan dan setiba di situ, anggota bot ronda Maritim Malaysia mengambil masa kira-kira lima minit untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa.

”Mangsa, Nizamudin Azam, 37, dan Mohamad Amirul Amin Azman, 28, ditemui dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka seterusnya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban, dekat sini untuk pemeriksaan kesihatan.

Dalam pada itu katanya, Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim supaya mengutamakan keselamatan terutama ketika keadaan laut yang bergelora serta cuaca yang tidak menentu.

”Orang ramai juga dinasihatkan menangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, Abd. Razak berkata, Maritim Malaysia menemukan mayat terapung berhampiran sangkar ikan Pulau Aman pada pukul 9 pagi semalam.

”Hasil pemeriksaan awal yang dilakukan ke atas mayat mendapati, mangsa ialah seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dari Pendang, Kedah yang disyaki terjun dari jambatan pertama Pulau Pinang pada 17 November pukul 5 petang.

”Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban dan disanitasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis Perai dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat serta siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya