Maritim Malaysia rampas 180 bungkusan air ketum - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia rampas 180 bungkusan air ketum

PENEMPATAN yang dipercayai digunakan untuk memproses daun ketum di kawasan hutan paya bakau persisiran muara Sungai Kuala Sanglang, Perlis, semalam. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Kuala Perlis berjaya mengesan kegiatan memproses air ketum yang dijalankan secara haram di kawasan hutan paya bakau berhampiran muara Sungai Kuala Sanglang, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Zon Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, menerusi maklumat risikan, bot ronda APMM yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op AMAN dan Op TIRIS 4.0 di sekitar perairan Perlis dan Kedah telah diatur gerak ke lokasi dikenal pasti bagi tujuan pengesahan serta pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, setibanya di lokasi berkenaan sekitar pukul 6 petang, anggota operasi telah mengesan sebuah penempatan dipercayai digunakan untuk memproses daun ketum di kawasan hutan paya bakau persisiran muara Sungai Kuala Sanglang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lokasi tersebut telah ditinggalkan oleh individu terlibat selepas menyedari kehadiran pihak penguatkuasa,” katanya.

Nak Rong berkata, hasil pemeriksaan menemukan beberapa peralatan memasak serta bekas polisterin dipercayai digunakan untuk memproses dan menyimpan air ketum.

Katanya, selain itu, sejumlah 180 bungkusan air ketum yang ditinggalkan di penempatan tersebut turut dirampas.

“Air ketum yang diproses ini dipercayai untuk edaran pasaran tempatan. Nilai keseluruhan barangan rampasan ini dianggarkan melebihi RM1,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Kejayaan ini adalah hasil gabungan maklumat risikan dan pemantauan berterusan oleh Unit Risik IPMZ Kuala Perlis, Unit Risik IPMZ Kuala Kedah dan Unit Risik Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Langkawi yang berjaya mengesan aktiviti berkenaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN