PASIR MAS: Dua lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah dekat Kampung Aur Tanjung, Tok Uban di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu mengakibatkan pemandu kereta jenis Toyota Corolla, Mohd. Yusairie Osman, 38, dan penumpang, Abdul Majid Hamid, 37, maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, siasatan awal dan pemeriksaan rakaman kamera papan pemuka bas tersebut mendapati, kereta dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai dipandu laju.
Katanya, kereta tersebut dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah bas ekspres.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu bas tersebut yang berusia 58 tahun cedera ringan.
“Siasatan turut mendapati, kemalangan berpunca daripada pemandu kereta tersebut yang memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN