PETALING JAYA: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bermula Sabtu ini, semua calon dan parti politik dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan sedia ada sepanjang proses pilihan raya dijalankan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Anuar Ahmad berkata, pematuhan undang-undang dan etika adalah penting bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung secara aman, tertib dan mencerminkan kematangan politik negara.
“SPR menasihatkan semua calon dan parti politik supaya berdisiplin dan menghormati segala peraturan serta arahan semasa.
“Pematuhan ini menunjukkan tanggungjawab dan komitmen terhadap amalan demokrasi berparlimen,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 akan berlangsung pada 29 November. Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 15 November dan 25 November.
Mengulas lanjut Khairul Anuar berkata, semua calon dan parti harus memberikan kerjasama terbaik dan mematuhi arahan SPR, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Katanya, semua pihak perlu mengelakkan sebarang tindakan provokatif, penyebaran fitnah, hasutan atau kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan penyokong parti.
Menurutnya, sebarang bentuk salah laku pilihan raya seperti rasuah, sogokan atau ugutan tidak akan dikompromi dan boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“SPR ingin mengingatkan bahawa setiap calon dan jentera parti bertanggungjawab untuk memastikan kempen dijalankan secara berhemah tanpa menyentuh isu-isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian masyarakat,” katanya.
Menurutnya, kepatuhan kepada peraturan SPR bukan sahaja memudahkan proses pilihan raya tetapi juga memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pilihan raya dijalankan dengan adil dan teratur. – UTUSAN










