KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyaksikan kecenderungan calon legasi atau pewaris keluarga politik apabila banyak parti menampilkan keluarga berpengaruh.
Antara yang mencuri perhatian kali ini termasuk Datuk Yamani Hafez Musa, anak kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin.

Adiknya, Hazem Mubarak Musa pula bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sungai Manila manakala bapa saudara mereka, Tan Sri Anifah Aman yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) d DUN Bongawan.
Fenomena serupa turut dilihat dalam keluarga politik lain antaranya seperti Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal iaitu Datuk Yusof Apdal, bertanding di DUN Silam sementara anak saudaranya Jamil Hamzah juga menyertai saingan kali ini.
Keluarga Kitingan yang sinonim dengan sejarah politik Sabah, kekal relevan menerusi dua figura utamanya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang mewakili dua aliran politik berbeza sejak sekian lama.
Tahun ini juga menyaksikan tiga beradik Bahanda turun gelanggang iaitu Datuk Wetrom Bahanda mewakili Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Matunggong, manakala dua beradiknya iaitu Datuk Redonah Bahanda calon GRS di Bandau) dan Datuk Verdon Bahanda sebagai calon Bebas di Tanjong Kapor).
Selain itu, dua anak kepada Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, Yit Jee Yong (Likas) dan Yvonne Yong (Segama) turut menjadi taruhan, manakala pasangan suami isteri Tan Sri Pandikar Amin Mulia (Pintasan) dan Puan Sri Diana Diego (Sekong) mewarnai senarai calon GRS.
GRS turut mempertaruhkan Datuk Juhari Janan di Lamag dan anaknya, Johanizamshah Johari (Sukau), serta Syed Ahmad Syed Abas, anak kepada bekas Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali di DUN Balung.
Sebaliknya penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Madya Dr. Romzi Ationg berkata, kecenderungan parti menampilkan calon daripada keluarga berpengaruh bukan perkara baharu dalam landskap politik Malaysia.
Katanya, fenomena calon legasi atau pewaris keluarga politik sekali lagi mewarnai PRN Sabah kali ini, namun trend itu tidak lagi menjamin kemenangan mudah seperti dahulu.
“Sebenarnya legasi itu hampir-hampir tidak lagi terpakai sebab pengundi sekarang melihat kepada perkembangan dan prestasi individu, bukan susur galur keluarga.
“Bagaimanapun, pengaruh keluarga tetap ada terutamanya jika mereka mempunyai jaringan hubungan atau pengaruh yang sedia wujud di kawasan masing-masing,” katanya. – UTUSAN










