Rundingan damai Thai, Kemboja diterus

Rundingan damai Thai, Kemboja diterus

MOHAMAD Hasan menyerahkan sumbangan pada Majlis Penyampaian Kit Untuk Calon SPM 2025 dan Komputer Riba Untuk Pelajar IPT Parlimen Rembau di Seremban, semalam. – UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Malaysia sedia menganjurkan perbincangan semula antara Thailand dan Kemboja dalam masa terdekat bagi memastikan perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua negara itu dapat diteruskan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau akan berbincang dengan Pengerusi ASEAN merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menetapkan tarikh sesuai untuk mengadakan rundingan tersebut di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kedua-dua negara itu telah menghubungi Malaysia bagi memohon supaya usaha diplomatik diteruskan berikutan ketegangan di kawasan sempadan selepas termeterainya Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Peace Accord) baru-baru ini.

“Kedua-kedua pihak, Thailand dan Kemboja juga telah meminta Malaysia memainkan peranan meneruskan usaha perdamaian agar gencatan senjata yang ditandatangani dapat dikekalkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyam­paian Kit Untuk Calon SPM 2025 dan Komputer Riba Untuk Pelajar IPT Parlimen Rembau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pagi, Senawang, di sini, semalam.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Malaysia melalui pasukan pemantau ASEAN kini sedang menilai laporan mengenai insiden terbaharu di sempadan yang menyebabkan seorang anggota tentera Thailand cedera parah akibat letupan periuk api.

“Kita kesal kerana selepas perjanjian damai ditandatangani, masih berlaku salah faham dan pertelingkahan kecil di peringkat sempadan.

“Thailand mendakwa periuk api itu ditanam oleh pihak Kemboja, namun pasukan pemantau ASEAN melaporkan ia merupakan periuk api baharu,” katanya.

Tambahnya, Malaysia menegaskan supaya kedua-dua negara kembali ke meja rundi­ngan bagi memastikan kestabilan serantau terus terpelihara.

“Kita mahu kedua-duanya bertenang dan kembali berbincang bagi mengekalkan keamanan. ASEAN memainkan peranan penting dalam memastikan kawasan sempadan bebas daripada senjata berat dan periuk api melalui demining exercise yang telah dipersetujui,” katanya.

Menurutnya, pasukan pemantau ASEAN yang dianggotai wakil pertahanan dari negara anggota tidak dikerah ke sempadan sebaliknya hanya bertindak memantau serta menyalurkan laporan kepada kerajaan masing-masing.

“Kita tidak hantar anggota ke sempadan. Pasukan pemantau ini hanya memantau melalui kedutaan masing-masing dengan menambah bilangan pegawai pertahanan bagi memastikan setiap perkembangan di kawasan konflik dapat dipantau dengan teliti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN