PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat samun menggunakan tukul besi di sebuah kedai serbaneka di Taman Maju Jaya di sini, Sabtu lalu.
Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerima laporan pada 5.28 pagi berkaitan kejadian samun di premis 24 jam tersebut.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ketika kejadian, suspek dipercayai masuk ke dalam premis dengan memakai topi keledar, berpelitup muka serta menunjukkan tukul ke arah pengadu.
Katanya, suspek berjaya melarikan wang tunai RM590 serta 49 kotak rokok pelbagai jenis.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis pergi ke satu alamat tidak bernombor di Kampung Lindungan pada 3.30 petang dan menahan dua lelaki berusia 30-an.
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas barang kes dipercayai hasil samun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, semakan lampau mendapati suspek pertama mempunyai 12 rekod jenayah dan satu rekod dadah manakala suspek kedua mempunyai jenayah berkaitan dadah.
Jelasnya, kedua-dua suspek kini direman sehingga Khamis ini.
“Susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti menyalahi undang-undang di sekitar Petaling Jaya boleh menghubungi hotline di talian 03-79662222 atau mana-mana balai berdekatan,” katanya.- UTUSAN