Buli cermin sikap kita yang kian hilang belas kasihan

Buli cermin sikap kita yang kian hilang belas kasihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANYALAH kepada sesiapa sahaja di sekeliling kita, adakah mereka bersetuju dengan perbuatan membuli? Sudah tentu jawapannya tidak.

Namun tragedi demi tragedi yang berlaku tetap memperlihatkan betapa parahnya masalah ini. Kita semua membenci dan menentang perbuatan kejam ini dan mahukan negara ini bebas daripada pembuli, namun ia tetap berlaku.

Hal ini mendorong ahli masyarakat bangkit menentang budaya buli sehingga tercetuslah beberapa gerakan bertujuan untuk membangkitkan gelombang kuat bagi mendesak budaya tidak sihat itu dihentikan segera.

Di media sosial, warga maya gigih mendorong kempen-kempen bertujuan membanteras budaya buli. Pelbagai gesaan dibuat termasuk menuntut penguatkuasaan lebih ketat bagi menghindari kejadian buli di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak sepatutnya menjadi gelanggang keganasan.

Masalah buli di sekolah dan IPT bukanlah masalah baharu. Dahulu isu ini tidak heboh di media sosial seperti hari ini. Pun begitu, ibu bapa ketika itu sentiasa menasihati anak supaya tidak melakukan perbuatan yang tidak baik.

Di mana silapnya sehinggakan masalah ini menjadi begitu parah pada era digital?

Anak-anak belajar tentang nilai sahsiah melalui dua cara. Pertama secara ajaran terus, sebagai contoh daripada pesanan ibu bapa dan guru.

Cara kedua adalah melalui teladan. Secara psikologinya, kanak-kanak lebih banyak belajar melalui pemerhatian berbanding pesanan dan nasihat. Umumnya, mereka akan meniru perkara yang dilakukan oleh orang lain, terutamanya ibu bapa, suri teladan dan perkara yang sering berlaku di persekitaran.
Namun, logikkah dikatakan kejadian buli di sekolah disebabkan anak-anak meniru perbuatan ibu bapa atau orang dewasa lain yang melakukan perkara sama secara terbuka?

Sebenarnya dalam usaha menentang buli, secara tidak sedar kita masih membudayakan sikap kebulian daripada gurauan dan kelakuan kasar terhadap orang lain.

Begitu juga aksi komedi melibatkan perbuatan membuli secara ringan yang dikira lucu dan menyebabkan orang dewasa menonton sehingga tertawa terbahak-bahak. Terfikirkah kita apakah mesej yang difahami anak kecil yang memerhati keadaan tersebut?

Tanpa disedari, masyarakat sebenarnya mengajar anak-anak untuk menganggap perlakuan kasar bukan sahaja tidak salah, malah dianggap lucu dan menghiburkan.

Hari ini ramai merasakan mengejek, menghina dan mencaci maki mana-mana individu yang tidak disukai khasnya ahli politik, selebriti dan tokoh terkenal sebagai tidak salah. Katanya itu hak masing-masing.

Hal ini dilakukan secara terbuka di mana sahaja, bukan setakat ketika bersama kawan-kawan di kedai kopi, malah ketika berada di meja makan dan ruang tamu rumah sesama keluarga. Lebih-lebih lagi di media sosial agar lebih ramai akan dapat membaca ejekan dan makian kita.

Tanpa disedari, inilah pengajaran yang diberikan kepada generasi muda. Jika orang dewasa bangga membuli tokoh yang tidak mereka sukai termasuk menghina secara terbuka, maka tidak hairanlah jika anak-anak juga merasakan berhak berbuat demikian terhadap pelajar lain atau sesiapa sahaja.

Bagi kanak-kanak, jika ibu bapa selaku orang dewasa boleh berkelakuan sedemikian, mengapa pula ia salah bagi mereka untuk melakukan hal sama? Oleh itu, anak-anak ini akan berpandangan jika kita membenci seseorang, maka perlu mengejek, menghina dan mencaci maki kerana itulah yang patut dilakukan.

Lihatlah di media sosial, caci maki bukan hanya secara bertulis tetapi juga diucapkan tanpa segan silu melalui video. Bagi pelajar yang bebas menyelusuri media sosial, semua itu sudah menjadi perkara lumrah dan mereka akan lakukannya terhadap rakan.

Tingkah laku kasar dan buruk itu lama kelamaan dianggap normal bagi generasi yang membesar dalam keadaan begitu. Gurauan kasar akan diterjemahkan kepada aksi ganas dan diburukkan lagi oleh pengaruh permainan video mahupun fiksyen ganas yang kini semuanya berada dihujung jari.

Ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Kalau guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Akhirnya, pendirian menentang buli hanya tinggal slogan kosong apabila kita sendiri memilih untuk membuli apabila peluang terbuka.

Kanak-kanak merasakan tiada masalah untuk membuli apabila memasuki alam maya dan mereka melihat bagaimana warga maya membuli orang lain tanpa belas kasihan.

Lazimnya di alam maya, ramai yang tidak merasa bersalah membuli kerana tidak melihat mangsa sebagai manusia di dunia nyata, sebaliknya mereka dianggap sekadar avatar dengan nama samaran yang dipapar pada skrin.

Inilah akibatnya apabila mula menyahmanusiakan orang lain. Samalah seperti ketika membuli selebriti, kita melihat mereka seolah-olah watak dalam kisah yang dilakonkan.

Ahli politik dilihat sebagai watak dalam drama politik tanah air. Malah ramai yang merasakan tiada masalah untuk menyerang dan menabur fitnah terhadap mereka walaupun dengan serangan berbentuk peribadi.

Inilah yang mendorong kita bertindak di luar batas, termasuk menghina orang lain. Masalah ini semakin parah apabila kita terus memekakkan telinga dan memejamkan mata terhadap isu tersebut.

Ia bermula dengan hilangnya rasa belas kasihan di alam maya, kemudian berlarutan kepada ketiadaan empati terhadap individu yang tidak dikenali secara peribadi, hingga akhirnya lenyap terus rasa belas kasihan dalam hati terhadap sesiapa sahaja sama ada rakan sekolah, guru mahupun keluarga sendiri.

Buli tidak akan dapat dibanteras hanya dengan laungan lantang serta desakan kepada kerajaan semata-mata. Masalah harus diselesaikan sehingga ke puncanya dan memerlukan tindakan daripada semua pihak. Cakap jangan tak serupa bikin.

 

SELAIN pengaruh sikap ibu bapa di rumah, kanak-kanak turut belajar tentang perbuatan membuli melalui media sosial yang sarat dengan kandungan ejekan, hinaan dan gurauan kasar yang dianggap hiburan.

 

TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Dalam usaha membanteras buli, kita harus bersikap bijaksana dan waras, bukannya mengikut arus dan mainan emosi. Selagi berakal, kita semua mempunyai tanggungjawab yang harus ditunaikan.

Adakah cadangan kerajaan untuk menguatkuasakan peraturan tidak membenarkan individu di bawah umur 16 tahun memiliki akaun media sosial akan disokong sepenuhnya? Tepuk dada tanya selera.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN