KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri pimpinan Pas perlu mengambil pendekatan harmoni dan berbincang dengan Pusat berhubung status pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang masih tergantung walaupun sudah hampir 20 tahun diumumkan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah lama berjuang untuk merealisasikan pembinaan LPT3 bagi meningkatkan jaringan pengangkutan serta mendorong pertumbuhan ekonomi penduduk negeri ini dan Kelantan.
“Kerajaan dahulu sudah lama merancang dan siap reka bentuk sepertimana terkandung dalam Manifesto BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Apabila BN tidak membentuk kerajaan di Terengganu sejak 2018, sepatutnya projek ini berjalan sepertimana dirancang dan kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan harmoni serta berbincang dengan kerajaan Pusat berhubung hal ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Projek pembinaan LPT3 diumum sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada 2006 dengan kos asal RM2.867 bilion kini meningkat kepada RM9.8 bilion.
LPT3 turut dimasukkan dalam Manifesto BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan dibina melalui beberapa daerah di Terengganu dan Kelantan termasuk Kuala Terengganu, Setiu, Besut, Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas, Kota Bharu serta Tumpat sepanjang 147 kilometer.
Isu pembinaannya kembali hangat selepas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kemaman membangkitkannya semasa sesi Perbahasan Belanjawan 2026 di Parlimen, minggu lalu.
Rozi berkata, perjuangan untuk pembinaan LPT3 perlu dilakukan secara berterusan dan tanpa jemu kerana ia menjadi keperluan rakyat dalam meningkatkan kesalinghubungan dua negeri Pantai Timur serta meningkatkan potensi perdagangan rentas sempadan.
Katanya, situasi sama semasa mahu merealisasikan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dari Gemuruh ke Jabor membabitkan jarak sejauh 184 kilometer bermula 2006 sebelum dibuka secara rasmi pada awal 2015.
“Untuk mendapat LPT2 dulu pun bukan kerja mudah untuk diperjuangkan,” katanya.-UTUSAN.










