Air deras naik paras leher hanya dalam lima minit

Air deras naik paras leher hanya dalam lima minit

SUHAZIMAN Mohd. Suhaimi Suhaiziman menceritakan detik cemas yang dialaminya sekeluarga ketika ditemui di Taman Larah Damai, Kamunting, Taiping, Perak, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Lebih 2,500 penduduk di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas hujan lebat berterusan sejak kelmarin menyebabkan beberapa kawasan kediaman dinaiki air secara mendadak.

Antara kawasan paling terjejas ialah Taman Lara Damai di Kamunting apabila banjir kilat berlaku dalam tempoh singkat, dengan paras air naik sehingga ke paras leher dalam masa kurang lima minit.

Seorang penduduk, Suhaziman Mohd. Suhaimi, 35, berkata dia terpaksa berpaut pada ampaian kain sambil meletakkan anak-anak di atas penutup tong ais untuk menyelamatkan diri selepas air deras memasuki rumah.

“Air naik terlalu cepat, dalam masa lima minit sudah sampai paras leher. Saya, isteri dan dua anak perempuan berusia lima tahun serta empat bulan terperangkap di halaman rumah selama tiga jam sebelum bantuan tiba,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Suhaziman yang bekerja di Hospital Taiping berkata, semua barangan rumah, dokumen peribadi dan dua kenderaan miliknya musnah akibat kejadian itu.

Katanya, ini kali pertama banjir kilat seteruk itu berlaku sejak dia menetap di kawasan berkenaan tiga tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Muaz Baharuddin, 30, anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, menggambarkan air yang melanda rumahnya sebagai ‘kepala air’.

“Air datang mendadak dan deras. Dalam dua minit sahaja, rumah sudah tenggelam. Saya hanya sempat selamatkan beberapa dokumen penting, tetapi kereta dan motosikal tidak sempat dialihkan,” katanya yang bersyukur terselamat walaupun terpaksa keluar ikut pintu dapur setelah pintu depan tidak boleh dibuka akibat tekanan air.

Bagi Mohamad Hailzandan Zakaria, 49, pula, dia dan isteri hanya mengetahui rumah mereka dilanda banjir setelah pulang ke kediaman mereka.

“Habis semua perabot, barangan elektrik dan dua motosikal rosak teruk. Kami hanya mampu reda,” katanya yang sudah dua tahun menetap di situ.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN