BN Pahang tampil 35 muka baharu, anak Najib calon DUN Peramu Jaya - Utusan Malaysia

BN Pahang tampil 35 muka baharu, anak Najib calon DUN Peramu Jaya

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) bersama calon BN Pahang pada Majlis Pengumuman Calon BN Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang menampilkan 35 muka baharu daripada keseluruhan 56 calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Antara calon baharu itu, Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd. Nizar Najib yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, untuk Parlimen, seramai lapan calon muka baharu ditampilkan daripada keseluruhan 14 kerusi.

“Bagi kerusi DUN, 27 daripada 42 kerusi adalah merupakan calon baharu. Kombinasi ini ramuan yang strategik bagi memastikan kesinambungan inisiatif yang telah dirancang serta percambahan idea-idea segar dan baru.

“Calon-calon yang dibariskan adalah mewakili ke semua parti komponen berdasarkan persetujuan dan persefahaman yang jelas atas semangat dan muafakat BN. Tidak berlaku pergeseran atau masalah besar dalam merunding dan membahagikan kerusi.

“Inilah kekuatan BN iaitu keupayaan untuk berunding dan berbincang dengan baik dalam segala perkara. Tidak ada yang mahu membawa bendera dan logo sendiri. Tidak ada yang merajuk dan mengugut parti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, calon BN Pahang pada PRU-15 kali ini diangkat dari pelbagai peringkat membabitkan sayap wanita, pemuda dan puteri serta golongan profesional sekali gus menepis tanggapan bahawa semua calon adalah Ketua UMNO Bahagian adalah tidak benar sama sekali.

“Sebanyak 30 peratus adalah calon muda berusia di bawah 45 tahun. Bagi kerusi Parlimen, seramai dua orang manakala bagi kerusi DUN, seramai 15 orang calon adalah mereka yang di bawah usia 45 tahun.

“Kita yakin, ini adalah satu pengiktirafan oleh BN kepada anak muda untuk terlibat sekali gus menyumbang secara langsung kepada pentadbiran negeri ini dan masyarakat setempat.

“BN turut menampilkan lapan calon wanita. Ini merupakan resepi tradisi dan kepercayaan BN, bahawa kaum hawa kita adalah kelompok yang berbakat, terbukti dan teruji berupaya memberikan yang terbaik untuk negara dan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya