BN mahu pastikan Kuala Pilah tidak lagi tertinggal

BN mahu pastikan Kuala Pilah tidak lagi tertinggal

HASAN Malek ketika berucap pada kempen Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pelangai dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh dekat Kuala Pilah. Turut hadir, Adnan Abu Hassan (duduk empat dari kiri) dan Ismail Lasim (duduk tiga dari kiri).- UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Barisan Nasional (BN) kini berada pada prestasi terbaik untuk merampas semula kerusi Parlimen Kuala Pilah yang terlepas ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada maklum balas diterima BN daripada rakyat yang mahukan wakil lebih aktif di peringkat nasional.

Beliau yang juga bekas Menteri kabinet berkata, rakyat di kawasan Parlimen itu juga telah menempuh pengalaman pahit selama sepenggal di bawah wakil pembangkang yang menyaksikan tidak banyak kemajuan dicapai di daerah Kuala Pilah.  

“Sejak PRU lalu, BN Kuala Pilah telah menyusun semula dan mengemas kini gerak kerja kerana kami mempunyai pengalaman luas sebagai kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat.

“Jadi kali ini, kedudukan kami lebih kukuh dan sedia menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas membantu kempen BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pelangai dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh di sini,

Yang turut hadir calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan dan Pengerusi BN Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim.

Hasan adalah Ahli Parlimen Kuala Pilah selama dua penggal mulai 2008 sebelum tewas kepada Datuk Eddin Syazlee Shith (PH) pada PRU14 dengan majoriti 200 undi.

Mengenai calon BN yang dipilih kali ini, Hasan berkata, beliau yakin Adnan adalah pemimpin terbaik dan mampu menggalas tanggung jawab sebagai seorang wakil rakyat yang berkesan.

Jelasnya, Adnan mempunyai pengalaman selama dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sehingga kini tidak pernah mengambil mudah atau mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat.

“BN telah memilih calon yang tepat dan amat rugi sekiranya peluang ini disia-siakan dengan memilih calon lain. Kita tidak mampu lagi membuat keputusan yang salah hingga merugikan Kuala Pilah daripada arus kemajuan dan pembangunan negara,” ujarnya. 

Jumlah pengundi berdaftar bagi kawasan Parlimen itu kini adalah 63,247 orang berbanding 49,801 pada PRU14.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya