Beza Anwar di mata Nik Aziz, Abdul Hadi

Beza Anwar di mata Nik Aziz, Abdul Hadi

Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang mempunyai pandangan berbeza terhadap pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa hayatnya dikatakan sering berdoa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi peluang menjadi Perdana Menteri.

Dalam kebanyakan ucapannya, Allahyarham menyokong pelantikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai pemimpin nombor satu negara.

Malah, sokongan positif yang ditunjukkan Nik Abdul Aziz terhadap Anwar itu turut diketahui seluruh rakyat terutama ahli Pas.

Namun, kepemimpinan Pas yang diterajui Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula bersikap sebaliknya, apabila mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Tambun itu memiliki cukup syarat untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau mendakwa, Anwar merupakan bekas individu yang dihukum mahkamah kerana kesalahan dan meminta pengampunan.

Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa berkata, Allahyarham Nik Abdul Aziz selalu menekankan yang Anwar mempunyai kelayakan sebagai Perdana Menteri.

“Dalam perjumpaan tertutup parti yang turut dihadiri oleh Abdul Hadi dan lain-lain pemimpin Pas, Allahyarham tuan guru selalu memberi penekanan agar Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Walaupun mungkin ada kekurangan, ia boleh ditampung, jadi kita perlu melihat dalam perspektif lebih luas kerana politik ini dinamik, bukan statik.

“Oleh itu saya mencadangkan kepada Abdul Hadi untuk segera berjumpa Perdana Menteri dalam masa terdekat. Sebagai umat Islam apa salahnya berjumpa dan jangan menampakkan seolah-olah yang dia kecewa apabila kehilangan kuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Husam yang merupakan bekas Naib Presiden Pas berkata, Abdul Hadi perlu lebih tenang dan bersikap matang agar tindakan-tindakan yang dilakukan kelak tidak merugikan agenda Islam yang diperjuangkan parti itu.

Katanya, pendekatan Abdul Hadi lebih dipengaruhi oleh emosi dan angan-angan politik yang ditanam oleh sesetengah penasihat kononnya gabungan Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan.

“Dalam teori pemikiran Presiden Pas, dia mahu keadaan kalah-menang, bertentangan dengan teori pemikiran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan situasi menang-menang.

“Keadaan ini pernah berlaku semasa kerajaan tebuk atap lalu, kalau masa itu Pakatan Harapan (PH) boleh menerima baik keputusan Seri Paduka untuk kestabilan negara, kenapa contoh teladan itu tidak diikuti Pas dan PN. Apa kurangnya Anwar berbanding Muhyiddin,” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN