Bergelar usahawan kelulut selepas menyertai AIM

Bergelar usahawan kelulut selepas menyertai AIM

kelulut
Rosmalili Ramli menunjukkan produk keluaran syarikatnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Bermula sekadar minat untuk mendapatkan madunya sahaja, Rosmalili Ramli 34 tidak menyangka ternakan kelulutnya kini menjadi punca pendapatan kepada keluarga, malah menjadi usahawan madu kelulut yang berjaya.

Malah menguatkan lagi semangat beliau untuk menternak kelulut apabila anak kedua yang lahir menghidapi masalah kulit yang kronik.

“Pelbagai produk telah dicuba tetapi tidak berhasil. Akhirnya saya menggunakan beepollan dan madu kelulut, kulit anak semakin sihat dan baik.”

“Dalam masa yang sama anak pertama turut menghadapi masalah asma dan setiap bulan terpaksa berulang ke Klinik Kesihatan,” katanya yang tinggal di Kampung Bukit Serdang, Kuala Bera, Bera.

Rosmalili berkata selepas mengamalkan pengambilan madu kelulut setiap pagi dan kini anaknya sudah berusia 10 tahun, anaknya semakin sihat dan tidak perlu lagi berulang alik ke Klinik Kesihatan.

Ibu kepada empat orang anak ini nekad membuat pinjaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM 3000 pada tahun 2018 untuk membesarkan lagi ternakan kelulutnya, dengan membeli 10 lagi sarang kelulut.

Katanya beliau telah beberapa kali membuat pinjaman dengan AIM untuk menambah sarang kelulut sehingga kini mempunyai lebih 100 sarang.

“Allhamdulillah, madu kelulut yang diusahakan mendapat sambutan orang ramai sehingga tidak menang tangan kerana ramai yang tahu tentang khasiatnya.

“Suami saya, Azman Shah Musa, 39, yang bekerja sendiri turut membantu, selain dua penduduk yang kerja secara sambilan, menyedut madu terutamanya ketika musim kelulut banyak mengeluarkan madu,” katanya.

Beliau berkata, selain itu beliau turut menggalakkan penduduk kampung menternak kelulut dengan konsep satu rumah satu sarang kelulut.

Katanya, dengan menternak kelulut di kawasan kediaman masing-masing untuk makan sendiri, mereka boleh menjual madu tersebut kepadanya.

Kini Rosmalili mempunyai bengkel proses madu kelulut di balai raya Bukit Serdang yang memproses hasil madu untuk memudahkan di pasarkan.

Katanya, cabaran utama menternak kelulut ialah pada musim hujan, apabila hasil madunya amat kurang.

Beliau berkata, peluang yang diberi oleh AIM akan digunakan sebaiknya untuk membesarkan lagi perusahannya.

Rosmalili memasarkan produknya melalui media sosial, menyertai ekspo, pameran dan membuka peluang bagi sesiapa yang berminat ingin menjadi ejen. Kepada yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi Rosmalili Ramli di talian 0179685737 atau boleh melayari Facebook Jabooq Honey dan Instagram Jabooq. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN