fbpx

Anwar makan di medan selera, solat Jumaat di Masjid Putra

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Masjid Putra di sini, pukul 1.01 petang tadi bagi menunaikan solat Jumaat.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, Imam 2 Masjid Putra, Ustaz Abdul Karim Zakaria serta pegawai kanan dan kakitangan Jakim.

Sejurus tiba, Anwar yang berpakaian baju Melayu berwarna merah jambu lengkap ber sampin disambut ratusan jemaah yang sedang menanti ketibaan beliau di masjid berkenaan.

Beliau sempat bersalaman dengan jemaah yang hadir malah, ada antaranya turut merakam momen dengan berswafoto.

Khutbah di Masjid Putra hari ini akan disampaikan oleh Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali dan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebelum itu meluangkan masa untuk menjamah hidangan tengah hari nasi beriyani kambing di Medan Selera Presint 8 di sini selepas menyelesaikan sesi mengimbas kad perakan waktu sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi Perdana Menteri.

Ketibaan Anwar kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi disambut orang ramai yang berada di sini selain berkesempatan beramah mesra dengan penduduk di sini.

Anwar memulakan tugas rasminya hari ini di Pejabat Perdana Menteri selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, petang semalam. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN