PERUBAHAN demografi pengundi di kerusi Parlimen Alor Gajah memaksa parti bukan Melayu melepaskan status quo masing-masing bagi memberi laluan kepada calon Melayu bertanding di situ.
Pegangan terhadap hak eksklusif kerusi tradisi dilihat sudah tidak relevan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), memandangkan setiap komponen dalam mana-mana gabungan politik perlu berfikiran realistik untuk mencukupkan jumlah kerusi ke Putrajaya.
Berdasarkan situasi di Alor Gajah, siapa sangka Parlimen yang sekian lama menjadi medan pertembungan antara MCA dengan DAP kini berubah menjadi pentas perebutan calon Melayu.

Barisan Nasional (BN) mempertaruh Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan manakala Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon heavyweight yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari daripada Parti Amanah Negara (Amanah).
Adly satu-satunya calon Melayu PH yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil dengan majoriti 1,057 undi.

Perikatan Nasional (PN) yang bergelar penyandang kerusi kekal menawarkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dan Gerakan Tanah Air (GTA) pula mencalonkan Muhammad Nazriq Abdul Rahman daripada Berjasa.
Meskipun sebelum ini DAP dilihat lebih awal memulakan kempen bertemu pengundi di Alor Gajah, tidak dapat disangkal khabar angin yang bertiup kencang mendakwa Shahril atau Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bakal dicalonkan BN di kerusi berkenaan memaksa PH menukar strategi.

Ini kerana sebelum ini Adly yang juga Naib Presiden Amanah disebut-sebut bakal berentap di kerusi Parlimen Jasin, kuota yang ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada 20 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan, PH Melaka khususnya DAP negeri tidak gentar seandainya BN benar-benar meletakkan calon daripada UMNO di Parlimen Alor Gajah pada PRU15.
Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, jika BN meletakkan nama besar seperti Khairy untuk merampas kembali kerusi berkenaan, PH juga mempunyai kekuatan dan strategi sendiri.
Kini MCA ‘berhijrah’ ke kerusi Parlimen Tangga Batu yang dahulunya dimiliki UMNO dengan mempertaruh Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong manakala DAP hanya bertanding di Kota Melaka.
Pada PRU14, PKR diperuntukkan Parlimen Tangga Batu dan Hang Tuah Jaya manakala DAP di Kota Melaka dan Bersatu di Jasin, Alor Gajah dan Masjid Tanah. – UTUSAN










