Ahmad Zahid perlu ada dalam Kabinet - Tian Chua

Ahmad Zahid perlu ada dalam Kabinet – Tian Chua

TIAN CHUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun ada pihak menolak penyertaan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Kabinet, sebaliknya kehadiran Presiden UMNO itu amat penting demi kestabilan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, malah Ahmad Zahid menjadi watak penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan apabila Barisan Nasional (BN) akhirnya bersetuju bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sekali gus menyaksikan pembentukan kerajaan Pusat.

“Pemimpin PH dan BN perlu membina kepercayaan dan keyakinan antara satu sama lain.

“Tidak dinafikan, masih terdapat keraguan dalam BN khususnya UMNO. Tetapi Ahmad Zahid menunjukkan keupayaannya untuk menyatukan BN ke dalam pendirian bersama untuk bekerjasama dengan PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tian Chua berkata, mengetepikan Ahmad Zahid dan kluster mahkamah juga tidak bermaksud kerajaan terus menjadi bersih.

Katanya, pentadbiran sebelum ini juga tidak mempunyai menteri atau timbalan menteri yang berdepan kes mahkamah, namun dakwaan berlakunya rundingan terus dan pilih kasih dalam perolehan tetap menjadi isu.

Beliau kemudian menegaskan bahawa lantikan Ahmad Zahid dalam Jemaah Menteri tidak sepatutnya bermaksud beliau kebal daripada pendakwaan.

“Prosiding perbicaraan harus diteruskan dan Ahmad Zahid mesti membuktikan beliau tidak bersalah di mahkamah,” katanya.

Tian Chua juga berkata, jika BN mencalonkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk jawatan dalam Jemaah Menteri, ia bukan bergantung kepada PH untuk menolaknya.

Beliau sambil menyifatkan ini adalah sebahagian daripada prinsip kerjasama dan tanggungjawab kolektif dalam kerajaan perpaduan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya