LUMUT: Satu lagi mayat dipercayai mangsa bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Pulau Pangkor Isnin lalu, ditemukan hari ini.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak dalam kenyataannya berkata, mayat mangsa lelaki itu dijumpai oleh aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), FCB 1001 pada pukul 9.27 pagi.
Katanya, mayat mangsa ke-11 itu dijumpai pada kedudukan 5.6 batu nautika ke barat daya Pulau Pangkor.
“Mayat tersebut kemudian dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa yang masih hilang seramai tiga orang dan usaha mengesan kesemua mereka sedang giat dijalankan.
Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dilancarkan susulan kejadian sebuah bot yang membawa 37 PATI dari Indonesia tenggelam di perairan Pulau Pangkor di sini Isnin lalu.
Seramai 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia berjaya diselamatkan pada hari kejadian. – UTUSAN










